10 negara terkaya dalam dunia

Loading...

Bolehkah anda menamakan negara yang paling kaya di dunia? Barangkali ramai yang meneka Amerika Syarikat, China ataupun Arab Saudi kan?

Jika kita lihat Amerika Syarikat contohnya, ya ia sememangnya sebuah negara yang kelihatan masyhur dan agak mewah. Apatah lagi dengan pemilihan Trump sebagai Presiden terbaru yang kita sedia maklum merupakan seorang ahli perniagaan kaya tersohor dunia.

Tapi pada hakikatnya, Amerika masih berada di belakang jika diteliti pendapatannya secara per kapita. Malah, ada beberapa buah negara yang masih sedang membangun pun telah berjaya mengatasi Amerika Syarikat dari segi perkhidmatan perubatan dan pendidikan.

Berdasarkan maklumat dan data daripada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kami ingin kongsikan senarai 10 negara terkaya di dunia. Senarai ini adalah berpandu kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) mengikut pariti kuasa beli per kapita (PPP) sesebuah negara.

prince mateen anak sultan brunei negara kelima terkaya di dunia

 

#10 San Marino

San Marino merupakan salah sebuah negara terkecil yang dikelilingi kawasan luar bandar Itali dan bertengger di atas puncak gunung. Jika diteliti saiz negaranya yang kecil, populasi penduduk serta kekayaan relatifnya, KDNK negara ini adalah sangat tinggi. San Marino hanya mempunyai penduduk seramai lebih kurang 33,000 orang sahaja yang menghuni negara berkeluasan 24 batu persegi ini.

Walaupun tidak banyak lokasi strategik untuk kegiatan perniagaan dan perdagangan, dengan bergantung kepada industri pelancongan serta import eksport, ia mampu mencecah sehingga KDNK per kapita sebanyak USD45 ribu.

 

#9 Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Dengan keluasan tanah 32,278 batu persegi, negara Timur Tengah ini lebih kecil daripada bandar New York di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, satu pertiga daripada KDNK yang berjumlah USD375 bilion datang daripada industri minyak. Selain itu, sektor perkhidmatan dan telekomunikasi juga menjadi antara penyumbang terpenting kepada pembangunan ekonomi negara yang mempunyai populasi penduduk seramai 9.2 juta orang ini.

 

#8 Norway

Walaupun Norway tidaklah sekecil San Marino, namun ia juga mempunyai kelebihan dari segi KDNK per kapita disebabkan populasi yang tidak begitu tinggi dan hasil kekayaan yang banyak. Dengan bilangan penduduk seramai 5.3 juta orang, negara ini mempunyai KDNK pariti kuasa beli per kapita setinggi USD 69,300.

Norway banyak bergantung kepada industri minyak dan gas selain menjadi pengeksport makanan laut kedua terbesar, selepas China.

 

#7 Ireland

Pendapatan per kapita negara ini adalah sebanyak USD65,144 dengan populasi seramai 4.8 juta orang. Antara industri utama yang menyumbang kepada ekonomi Ireland adalah tekstil, perlombongan dan penghasilan makanan.

Menurut senarai kedudukan yang dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, sebenarnya Ireland menduduki tempat ke-4 terkaya di dunia secara keseluruhan.

 

#6 Kuwait

Kuwait ialah sebuah negara kecil dengan KDNK pariti kuasa beli per kapita sebanyak USD75 ribu. Untuk pengetahuan anda, matawang yang paling mahal di dunia sekarang ini ialah dinar Kuwait. Dengan simpanan rizab minyak dunia sebanyak 10%, petroleum menjadi punca separuh daripada KDNK negara ini. Ia juga menyumbang 95% kepada hasil eksport dan pendapatan kerajaan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kuwait tidak banyak mempelbagaikan pendapatan ekonominya kerana keadaan fiskal yang amat memberangsangkan.

 

#5 Brunei

Memang patutlah ramai gadis yang tergila-gilakan anak kepada Sultan Brunei. Manakan tidak, ayahandanya mentadbir negara kelima terkaya di dunia. Dengan bilangan penduduk hanya seramai lebih kurang 430,000 orang, negara ini mampu mempunyai KDNK per kapita (PPP) setinggi USD75,369 hasil sumbangan industri petroleumnya.

 

#4 Singapura

Siapa sangka, negara jiran kita ini merupakan negara keempat terkaya di dunia. Dengan kadar pengangguran rendah iaitu hanya 2.3%, tidak hairanlah ia mampu menjana KDNK per kapita (PPP) sebanyak USD85 ribu. Nilai ini adalah lima kali lebih tinggi daripada purata pendapatan per kapita individu lain di seluruh dunia.

Singapura menjadi pelabuhan kedua paling sibuk di dunia dengan nilai eksport sebanyak USD414 bilion hanya pada tahun 2011. Selain itu negara kecil ini berdiri stabil hasil pertumbuhan sektor kewangan, industri bahan kimia dan polisi ekonomi liberal yang menggalakkan inovasi.

 

#3 Macau

Walaupun Macau adalah sebahagian daripada China, ia merupakan sebuah wilayah berautonomi dan mentadbir sendiri segala urusan ekonominya. Terkenal dengan lebih 30 pusat kasino bertaraf dunia, ia menarik minat pelancong yang membanjiri wilayah ini untuk berjudi.

Bilangan penduduk Macau tidak ramai, ia hanya mempunyai 570,000 orang. Disebabkan itulah industri kasino dan perjudian di situ sahaja mampu menjana KDNK per kapita (PPP) sebanyak USD96 ribu.

 

#2 Luxembourg

Negara kedua terkaya di dunia ini menjadi simbol kekayaan dengan pariti kuasa beli KDNK per kapita sebanyak USD102 ribu, iaitu 9 kali lebih banyak daripada purata negara-negara lain. Sektor perbankan di Luxembourg yang bernilai lebih USD 1.24 trilion menjadi aset utama negara ini.

 

#1 Qatar

Dengan pariti kuasa beli KDNK per kapita setinggi USD142 ribu, Qatar mengungguli carta negara terkaya di dunia. Seperti yang kita sedia maklum, Qatar mempunyai kuasa besar dalam industri petroleum dunia sehinggakan 70% pendapatan kerajaan datang daripada industri ini sahaja.

Disebabkan kekayaan dan kekuatan ekonomi negara ini, Qatar telah dipilih sebagai negara Arab pertama yang menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA pada tahun 2022.

najib

Anda pasti tertanya-tanya, di mana Malaysia berada? Dengan KDNK per kapita (PPP) sebanyak USD16 ribu, negara kita berada pada kedudukan 49 terkaya di dunia.

Jika dibandingkan dengan negara daripada senarai top 10 ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang besar dan mempunyai penduduk yang ramai. Jadi, oklah tu kan?

Rujukan:

1. Global Finance Magazine

2. World Bank

3. Business Insider

Kredit:- iluminasi

Loading...

Leave a Reply