4,000 sambut wira JDT di Dataran Bandaraya

Loading...

JOHOR BAHRU: Lebih 4,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menbanjiri Dataran Bandaraya di sini bagi menyambut kepulangan pemain dan jurulatih skuad Harimau Selatan yang menjuarai Piala Malaysia musim ini, sebentar tadi.

Sebelum itu, pemain JDT yang menjulang kejuaraan piala tertua di rantau Asia selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi diarak dari Plaza Tol Skudai sebaik tiba dari Petaling Jaya dan mereka menaiki bas khas tidak berbumbung.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berada dalam bas itu.

Bas khas itu melalui Lebuhraya Skudai-Johor Bahru dan kemudian bergerak ke kawasan hadapan Istana Bukit Serene melalui jalan di tepian Pantai Lido dan berakhir di Dataran Bandaraya.

PEMAIN JDT disambut penyokong di Dataran Bandaraya Johor Bahru, bagi meraikan Piala Malaysia yang dimenangi. – Foto Mohd Azren Jamaludin

Sebaik ketibaan pemain, jurulatih dan pegawai JDT, sorakan penyokong yang menyambut ketibaan juara Piala Malaysia itu nyata menghangatkan lagi sambutan tatkala pemain menjulang piala yang kali terakhir dibawa ke bumi Johor 26 tahun lalu.

JDT menjuarai piala berprestij itu selepas menbenam skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff 2-0 menerusi gol tandukan pemain pertahanan Aidil Zafuan Radzak seawal minit ketiga sebelum Gonzalo Cabrera yang turut dinobat pemain terbaik aksi final itu mencipta jaringan pada minit ke-63 yang menyudahkan hantaran Hazwan Bakri.

Pengendali JDT, Ulisses Morais menegaskan kejuaraan piala berprestij itu hadiah buat Tunku Ismail dan juga penyokong skuad Harimau Selatan ketika memainkan peranan penting bagi mengecapi kejayaan yang diraih pada aksi terakhir penutup tirai Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Bagi saya ini hadiah untuk bos saya, TMJ dan juga penyokong kerana mereka juga kami berada di final dan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama,” kata Morais.

PEMAIN JDT disambut penyokong di Dataran Bandaraya Johor Bahru, bagi meraikan Piala Malaysia yang dimenangi. – Foto Mohd Azren Jamaludin

Turut hadir pada majlis sambutan itu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim.

Gelaran Piala Malaysia itu melengkapkan kabinet trofi skuad Harimau Selatan sejak transformasi yang dilakukan pada 2013 apabila mereka menjuarai Liga Super pada 2014, 2015, 2016 dan 2017; Piala FA 2016; Piala Sumbangsih 2015, 2016 dan Piala AFC 2015.

kredit:- BH

Loading...