AFC puji kepimpinan baru FAM

Loading...

Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) percaya bola sepak Malaysia sedang berada pada landasan tepat untuk berkembang di bawah teraju Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang mengadakan perjumpaan bersama Tunku Ismail di Johor Bahru hari ini turut mengaku badan induk Asia itu berbangga apabila memiliki seorang pencinta bola sepak yang memimpin persatuan dengan baik dan percaya Tunku Ismail mampu melonjakkan taraf bola sepak negara ini.

“AFC berbesar hati apabila kami dan juga FAM adalah senada membabitkan komitmen terhadap bola sepak.

“Kami berbangga dengan adanya pencinta bola sepak seperti Tunku Ismail sebagai Presiden FAM dan saya percaya dengan visinya yang memandang jauh ke hadapan, beliau akan mengubah landskap bola sepak Malaysia untuk menjadi lebih baik.

“Kami turut merasai keghairahan terhadap bola sepak dalam kalangan penyokong di negara ini dan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan dalam kejohanan pelbagai peringkat usia membuktikan perubahan yang berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman web AFC, hari ini.

Pada masa sama, Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu turut menekankan mengenai kepentingan terhadap sokongan dan saling memahami antara AFC dan juga FAM.

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang meluangkan masa untuk melawat kami di Johor.

“Kepemimpinan FAM masih lagi baru tetapi kami memiliki langkah yang lebih mudah untuk memajukan bola sepak di negara ini iaitu dengan cara mendidik pihak yang mengendalikan pasukan.

“Selain menjadi sukan yang popular, bola sepak juga memiliki kapasiti untuk menjadi ejen penyatuan dan itulah yang kami mahukan di negara ini.

“Kami sudah menyusun pelan jangka panjang yang bukan saja akan menjadikan bola sepak lebih profesional malah turut akan meningkatkan kualiti skuad kebangsaan kami,” katanya.

sumber:- BH

Loading...