Ahli perniagaan kelahiran Malaysia jadi perhatian Trump

Loading...

KUALA LUMPUR: Anak kelahiran Malaysia yang menerajui antara syarikat semikonduktor terbesar di dunia, Broadcom Ltd, terharu diberi sambutan hangat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Broadcom, Hock Tan, yang dilahirkan di Pulau Pinang ketika berucap di Pejabat Oval berkata, beliau tidak percaya berpeluang untuk berada di Rumah Putih itu.

“Biar saya beritahu anda, ibu saya tidak akan pernah terbayang yang pada suatu hari, anak lelakinya ini, akan berada di Pejabat Oval di Rumah Putih, berdiri di sebelah Presiden AS.

“Pada tahun 1971, saya hanyalah seorang remaja kurus berusia 18 tahun yang dibesarkan di Malaysia, namun berpeluang melanjutkan pelajaran ke AS di sebuah universiti kejuruteraan terbaik di dunia, Massachusetts Institute of Technology (MIT),” katanya berucap pada majlis itu yang ditayangkan dalam laman web rasmi Rumah Putih.

Tan berkata, beliau berasa cukup bertuah kerana berpeluang melanjutkan pelajaran dan melalui sistem pendidikan AS.

“Ibu bapa saya tidak mampu untuk menanggung pembiayaan pengajian saya ke kolej, apatah lagi MIT.

“Sehingga hari ini, saya berasa ia sesuatu yang menakjubkan…institusi pendidikan Amerika sanggup memberi saya peluang dengan menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan mengejar impian di AS,” katanya.

Mengulas mengenai pemindahan Broadcom dari Singapura ke AS, Tan berkata, keputusan itu adalah caranya membalas kembali jasa negara yang sudah banyak menyumbang bakti kepadanya.

“Hari ini, kami ingin mengumumkan yang kami mahu menjadikan AS sebagai rumah kami semula,” katanya.

Broadcom, syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 menggajikan lebih 15,000 pekerja dengan separuh daripadanya di AS.

Syarikat itu mengeluarkan cip untuk modem, set kotak televisyen, wi-fi dan pusat data, dengan Apple Inc antara pelanggan utamanya.

sumber:- BH

Loading...