Air mata Neymar NEYMAR

Loading...

LONDON: Segala tumpuan pasti terarah kepada bintang utama, Neymar ketika Brazil bersedia untuk mengharungi perlawanan terakhir bagi tahun 2017 menentang England di Wembley, awal pagi Rabu ini.

Sekali pun sudah meledak 11 gol daripada 12 perlawanan sejak perpindahan memecah rekod dunia ke Paris Saint-Germain (PSG) dari Barcelona, berita mengenai perbalahan dengan rakan sepasukan serta jurulatih, Unai Emery lebih mendapat perhatian.

Neymar tampak ‘rapuh’ ketika sidang media selepas kemenangan 3-1 Brazil ke atas Jepun pada aksi persahabatan di Lille, Jumaat lalu apabila mengalirkan air mata selepas jurulatih, Tite bangkit mempertahankannya sebelum bergegas meninggalkan bilik berkenaan.

“Apabila kamu adalah idola, contoh kepada ramai orang, kamu perlu menjadi sempurna dan amat jelas saya tidak seperti itu,” kata Neymar sebelum tindakannya itu.

“Saya adalah lelaki muda yang berusia 25 tahun dan masih banyak ingin dipelajari dalam bola sepak.”

Neymar secara umumnya menyinar di Ligue 1, sejak melengkapkan perpindahan bernilai 222 juta euro (RM1.22 bilion) dari Barcelona, tetapi prestasi terkininya mula menunjukkan tanda kurang selesa.

Dia diarah keluar padang ketika PSG mencatat keputusan seri 2-2 di Marseille, selepas dilayangkan kad kuning kedua susulan tindak balasnya terhadap terjahan yang dilakukan Lucas Ocampos.

Sekali pun menjaringkan gol ketika menentang Jepun, dia turut dilayangkan kad kuning atas kekasaran ke atas Hiroki Sakai – yang juga beraksi untuk Marseille.

Lebih membimbangkan bagi peminat PSG, timbul laporan di Brazil yang mengatakan Neymar sudah pun meluahkan kekesalannya meninggalkan Barcelona.

Dia sudah kembali ke Catalan sebanyak dua kali sejak awal musim ini dan gambarnya bersama Lionel Messi dan Luis Suarez turut dirakam.

Tetapi bagi rakan sepasukannya di PSG, Kylian Mbappe, reaksi emosional Neymar ketika sidang media berkenaan menunjukkan bintang itu juga manusia biasa.

“Dia membuktikan dia adalah lelaki seperti orang lain,” kata Mbappe kepada televisyen Perancis, TF1.

“Dia sama seperti kami, dia memiliki dua tangan, dua kaki dan satu hati.

“Dia juga boleh terganggu dengan semua kritikan yang diperolehnya. Daripada luar, dia menunjukkan riak yang dia tidak terganggu, sekali pun di sana (Lille) apabila dia keluar.

“Apabila kamu berada di dalam, dia membukanya kepada kamu dan menunjukkan dia adalah normal.”

kredit:- HM

Loading...