Al-Ikhsan taja jersi TRW

Loading...

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bakal menerima tajaan jersi daripada syarikat Al-Ikhsan untuk skuad Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan bola sepak wanita bagi musim 2018.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Al-Ikhsan bersetuju menaja jersi untuk semua kategori pertandingan bola sepak yang disertai KAFA musim depan.

“Jersi sudah ada penaja, cuma kita bakal menentukan kedudukan penaja di bahagian depan dan belakang jersi pada 14 November ini.

“Beberapa syarikat dan individu tertentu juga berminat untuk menaja pasukan Kelantan namun saya enggan mendedahkan nama syarikat berkenaan sebelum menandatangani sebarang kontrak perjanjian,” katanya di Wisma KAFA, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai peruntukan kewangan yang diperlukan KAFA untuk mengurus pasukan musim depan, Bibi berkata, sejumlah RM12 juta diperlukan untuk tujuan itu, namun pihaknya lebih mengutamakan kualiti pemain dengan nilaian perbelanjaan yang tidak tinggi.

Beliau yang juga usahawan batik dan memiliki syarikat hartanah berkata, antara perkara utama yang mahu dilakukannya adalah memastikan kewangan KAFA mencukupi selain tidak berlaku ketirisan.

“Penaja yang sedia ada seperti Yakult juga masih belum memberi keputusan untuk meneruskan tajaan atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, perancangan Bibi akan berusaha mendapatkan tajaan daripada tiga syarikat multinasional yang juga mempunyai pengalaman menaja kelab bola sepak di negara Eropah.

Tiga buah syarikat multinasional berkenaan sudah memberi ‘lampu hijau’ untuk mengembangkan tajaan bola sepak kepada pasukan The Red Warrriors (TRW) sekali gus memastikan kewangan pasukan stabil sepanjang musim 2018.

kredit:- BH

Loading...