Album terjual 5,000 unit, Fazura menangis

Loading...

PETALING JAYA 02 Nov. – Pelakon dan penyanyi Fazura menitiskan air mata tatkala diberitahu album pertama yang menggunakan namanya sebagai judul telah terjual sebanyak lima ribu unit sejak dipasarkan pada 23 Oktober lalu.

Menurut Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 33, kejayaan yang sama sekali tidak dijangka itu membuatkan dia terharu sehingga tidak mampu menahan tangisan.

Susulan kutipan jualan yang diterima, pihak Universal Music Malaysia turut menyampai anugerah emas kepada penyanyi lagu Hancur Aku itu.

“Sejak kecil lagi saya memang suka menyanyi dan menyimpan impian untuk menjadi penyanyi. Tanpa diduga syarikat rakaman yang besar seperti Universal Music Malaysia percaya dengan bakat saya.

“Apabila diberitahu jualan album pertama saya sudah mencecah lima ribu unit, saya sangat terharu. Sebab itulah saya tidak dapat menahan sebak dan menangis.

“Saya tidak menyangka album ini mampu mencapai kejayaan dalam masa yang singkat. Tambahan pula dengan keadaan pasaran sekarang yang agak mencabar.

“Saya terharu dan gembira apabila hasil usaha saya selama ini berbalas. Saya sangat bekerja keras untuk merealisasikan projek album ini walaupun ketika itu saya terikat dengan jadual yang padat,” jelas Fazura dalam sidang akhbar pelantikkannya sebagai duta Sahajidah Hai-O Marketing dan pelancaran album, Fazura di sini hari ini.

Album Fazura mengandungi sembilan buah lagu iaitu Bangun, Bisa Apa, Cinderella (duet bersama Fattah Amin), Lalu, Cinta Langka (duet bersama Ariadinata), Hanya Tuhan Yang Tahu, Only God Knows, Sayangi Dirimu serta Hancur Aku (duet bersama Estranged).

kredit- UTUSAN ONLINE

 

Loading...