Anggota TLDM Meninggal Sempat hubungi isteri sebelum meninggal dunia

Loading...

IPOH : “Mama jangan risaulah. Nanti papa keluar kita ‘settle’ (selesaikan) semua.”

Itu antara kata-kata terakhir Laskar Kelas 1, Nik Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, kepada Noor Bazlin Mohammad, sebelum Allahyarham meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini semalam.

Noor Bazlin, 28 berkata sebelum dibawa ke bilik tahanan berkenaan, suaminya sempat menghubungi beliau menggunakan telefon bimbit pengiring, iaitu anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lain yang bertugas di pusat tahanan pada jam 11.41 malam Rabu lalu.

“Arwah yang membahasakan dirinya sebagai papa dan saya sebagai mama, berpesan supaya jaga anak-anak dan dia kata tak perlu risau kerana tak lama lagi dia akan selesaikan segala-galanya.

“Suami memberitahu dia ditahan kerana lewat datang kerja untuk kali kedua dan arwah minta saya datang melawatnya di Lumut jika ada kelapangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri di sini hari ini.

Noor Bazlin yang bercadang untuk melawat suaminya minggu hadapan berkata, suaminya pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan membuka perniagaan bagi mengubah nasib keluarga.

Kata ibu kepada tiga cahaya mata itu, kali terakhir dia bertemu dengan Nik Mohd Baihaqy ketika suaminya pulang bercuti di Kuala Lumpur selama seminggu pada 17 September lalu.

Dia berkata, arwah tidak menunjukkan sikap pelik namun, suaminya kerap melawatnya di tempat kerja bersama-sama anak.

“Ada satu hari tu sampai dua kali dia datang ke klinik dan belanja rakan sekerja goreng pisang.

“Saya sempat bergurau dengan arwah kenapa rajin sangat datang ni? Nak tinggalkan saya ke? Namun arwah hanya tersenyum,” katanya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik kesihatan di ibu negara.

Noor Bazlin berkata, beliau dan keluarganya tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah berhubung kematian suaminya.

“Kami ahli sekeluarga sudah bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan dan akan mengambil tindakan (undang-undang) kalau kematian suami ada kaitan dengan unsur jenayah,” katanya.

sumber:- BH

Loading...