Banjir di Pulau Pinang semakin buruk

Loading...

GEORGETOWN: Hujan berterusan sejak jam 12 tengah hari semalam melumpuhkan Pulau Pinang susulan banyak jalan ditutup dan ratusan kediaman di lima daerah dinaiki air.

Hujan lebat berserta angin kencang semalam, turut menjejaskan sebahagian kawasan di Georgetown dan Seberang Perai, selain menyebabkan hakisan tanah, pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas luar biasa.

Tinjauan mendapati, kebanyakan kawasan rendah dinaiki air setinggi antara 0.2 meter hingga satu meter yang disumbangkan oleh peningkatan paras sungai.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata sejumlah 1,968 mangsa banjir ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir di empat daerah di negeri ini.

Katanya, seramai 70 mangsa banjir dilaporkan bagi daerah Timur Laut manakala 158 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir dalam daerah Barat Daya.

Di Georgetown, antara kawasan terjejas termasuk Kampung Masjid, Jalan P Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson dan Halaman Bukit Gambir.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, hujan lebat menyebabkan paras Sungai Pinang, Sungai Air Itam dan Sungai Dondang mencecah paras bahaya dengan masing-masing mencecah 2.83 meter, 6.58 meter dan 21.88 meter.

Antara kawasan terjejas di Seberang Perai ialah Taman Siakap, Permatang Rawa, Taman Senangin, Padang Lalang, Mak Mandin dan beberapa kawasan di Penanti.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata lebih banyak pusat pemindahan dibuka sejak tengah malam tadi untuk menempatkan penduduk yang terjejas.

Beliau berkata, antara pusat pemindahan yang dibuka ketika ini termasuk Dewan Orang Ramai Mengkuang Titi, Pusat Banjir Lubok Meriam, Sekolah Agama Masjid Mengkuang Semarak, Dewan Orang Ramai Kampung Kota, Dewan Pengkalan Tambang,  Dewan Banjir Guar Perahu, Sekolah KAFA Kubang Semang, Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti dan Surau Kampung Tok Subuh.

“Pusat pemindahan turut dibuka di SK Sungai Pinang dan SMK Teluk Kumbar 1. Kita anggarkan lebih 500 penduduk dipindahkan di semua pusat yang dibuka.

“Sehingga jam 3 pagi tadi, kerja menyelamat dan memindahkan mangsa giat dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, cuaca buruk sejak semalam menyebabkan 26 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masing-masing untuk ketibaan dan pelepasan ditunda.

“Tiga pesawat terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan satu pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,” katanya.

sumber:- BH

Loading...