Beto terperanjat panggilan Vingada

Loading...

KUALA LUMPUR: Pemain muda Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri mengakui terkejut mendapat panggilan menyarung jersi skuad senior negara bagi mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand pada Jumaat dan Isnin ini.

Khairil yang lebih mesra dengan panggilan Beto bagaimanapun menganggap aksi cemerlangnya bersama Perak ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia bulan lalu menjadi punca dia berjaya memikat hati jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada.

Justeru, pemain berusia 22 tahun berkenaan enggan mensia-siakan peluang pertama yang diberikan itu.

“Memang saya tidak jangka mendapat panggilan menyertai skuad senior dan ia mungkin disebabkan prestasi baik saya bersama Perak terutama ketika aksi Piala Malaysia.

“Vingada datang menyaksikan perlawanan itu dan mungkin dia melihat kemampuan saya. Malah, ketika itu saya bermain dengan hati dan memberi lebih 100 peratus untuk pasukan Perak.

“Kelebihan saya boleh beraksi di pelbagai posisi terutama tengah dan sayap. Tapi saya tidak letak harapan yang tinggi berada dalam skuad utama dan saya akan ambil peluang ini untuk belajar dan menimba pengalaman,” katanya yang berlepas ke Buriram bersama pasukan, pagi tadi.

Beto dan pemain FELDA United, Hadin Azman dipanggil pada saat akhir oleh Vingada, semalam bagi menggantikan tempat Baddrol Bakhtiar dan Darren Lok yang disahkan mengalami kecederaan.

Anak jati Teluk Intan, Perak itu terlepas aksi bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu selepas bergelut dengan kecederaan.

Selain itu, Beto mengakui peluang untuk dia berada dalam skaud utama mungkin tipis kerana terpaksa bersaing dengan beberapa pemain lebih senior termasuk Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

“Ramai pemain lebih senior yang beraksi di posisi tengah dan mungkin jurulatih akan mengutamakan pemain berpengalaman dulu.

“Tapi saya akan cuba bersaing untuk merebut tempat dan seperti yang saya katakan, saya datang ke sini (skuad negara) untuk menimba pengalaman,” katanya.

sumber:- BH

Loading...