Cinta bacakan al-Fatihah untuk ibu setiap hari

Loading...

KUALA LUMPUR: Suami penyanyi Elyana, Khairul Anuar Husin, 42, mengaku sukar menerima kenyataan apabila mendapat tahu isterinya menghidap kanser limfoma, kira-kira lima tahun lalu.

Khairul mengaku ketika itu, dia rasa tidak tentu arah, apatah lagi Elyana pada mulanya enggan menjalani rawatan kimoterapi.

Namun, tidak mahu melemahkan semangat insan tersayang, Khairul berjanji menjaga isterinya sebaik mungkin dan berikhtiar mencari apa saja penawar bagi menyembuhkan penyakit Elyana.

“Siapa yang tidak terkejut apabila mendapat tahu isteri menghidap kanser. Diakui, pada mulanya agak sukar untuk saya terima hakikat, tetapi hidup perlu diteruskan. Elyana perlukan sokongan saya dan keluarga.

“Apa yang berlaku membuatkan saya meletakkan diri paling bawah. Dia adalah isteri saya yang memberi harta yang sangat berharga dalam keluarga iaitu anak kami, Cinta Sumaiyah yang kini berusia enam tahun.

“Ini adalah tugas dan tanggungjawab saya sebagai suami untuk menjaga isteri. Saya faham, sebagai selebriti, sedikit sebanyak tekanan pasti bertambah,” katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, sebaik diumumkan tersingkir daripada musim keempat program realiti, Gegar Vaganza (GV4), Elyana mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat.

Pengakuan Elyana itu mengejutkan peminat termasuk teman artis yang tidak putus-putus melayangkan kata-kata perangsang kepada penyanyi Niat itu.

Khairul memberitahu, setiap hari dia memberi kata-kata positif kepada Elyana, apatah lagi hati isterinya itu mudah tersentuh.

Malah, Khairul tidak pernah menyorok derita yang dihidapi Elyana daripada Cinta dan mula berkongsi masalah dialami isterinya itu sejak puteri kesayangannya itu berusia tiga tahun.

“Saya sentiasa berpesan pada Cinta, sebelum tidur, bacakan Al-Fatihah untuk Bonda… Ini kerana doa Cinta Allah dengar.

“Kalau nak tahu, Cinta memang rapat dengan Elyana. Kalau boleh, setiap malam dia akan memeluk Bondanya. Alhamdulillah, Cinta seperti memahami dengan keadaan Bondanya,” katanya.

Khairul berkata, Elyana masih boleh bekerja seperti biasa biarpun sedang berjuang melawan sel kanser.

“Apa yang didedahkan isteri bukan kerana mahu meraih simpati, tetapi ingin memberitahu kepada peminat mengenai keadaan dirinya.

“Isteri masih boleh bekerja seperti biasa kerana kanser membabitkan imun badan saja. Kalau layan sakit saja, maka bertambah sakitlah dia. Kalau sibuk dengan kerja, pasti penyakit yang dihidapi dilupakan seketika,” katanya.

Sementara itu, Khairul menjelaskan, isterinya mendapat pengesahan menghidap kanser kira-kira lima tahun lalu, bukannya tujuh tahun seperti yang dilaporkan sebelum ini.

kredit:- BH

Loading...