Dapat RM34.5 Juta Tapi Tersingkir Liga Super

Loading...

GEORGE TOWN: Seorang wakil rakyat DAP pada Rabu mempersoalkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) selepas pasukan itu tersingkir daripada saingan Liga Super musim depan walaupun menerima peruntukan RM34.5 juta daripada kerajaan negeri.Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kota Lau Keng Ee berkata walaupun menerima peruntukan yang begitu banyak, mereka gagal menghasilkan keputusan dengan sekadar menghuni tangga tercorot Liga Super.

“Sekiranya keputusan begitu teruk, maka tidak perlulah kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan memberikan tajaan yang begitu besar untuk mengimport pemain dan jurulatih,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini Rabu.

Beliau berkata walaupun dengan beberapa pemain import dan jurulatih import, pasukan negeri masih gagal menghasilkan keputusan yang baik musim ini.

Sebaliknya, Lau berkata kerajaan negeri seharusnya melatih pemain-pemain negeri sendiri untuk menyarung jersi Pulau Pinang.

“Anak-anak kelahiran Pulau Pinang akan lebih bersemangat untuk bermain bersama negeri sendiri dan kos import pemain serta jurulatih itu dapat dijimatkan untuk perkara lain,” katanya.

Sementara itu, RSN Rayer (DAP-Seri Delima) ketika mencelah mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan akademi bola sepak negeri untuk mencungkil bakat-bakat pemain bola sepak daripada anak-anak kelahiran negeri.

Beliau berkata semua kelab gergasi Liga Bola Sepak Inggeris mempunyai akademi masing-masing untuk melatih pemain-pemain bagi mewakili kelab mereka.

Pasukan bola sepak Pulau Pinang tersingkir daripada beraksi di Liga Super musim depan selepas hanya mampu mengumpul 12 mata daripada 22 pelawanan.

Berikutan keputusan itu, Presiden FAP Zairil Khir Johari mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada 9 Oktober lepas.

Persidangan dewan bersambung Khamis. – BERNAMA

kredit:- mstar

Loading...