DSV Impi Setanding Penyanyi Hollywood, Katy Perry?

PENGASAS produk kecantikan, Datuk Seri Vida kali ini dilihat lebih berani nampaknya. Dia cuba nasib sebagai penyanyi dan hadir dengan singlesulungnya, I Am Me yang menjadi bualan ramai.
Lagu yang dikritik khasnya dalam kalangan netizen itu rupanya mendapat tempat di hati penggemar muzik tanah air. Fuhhh… siapa sangka kan? Dalam benci ada juga yang suka?

Tambahan pula, single tersebut dilihat menerima lebih daripada 7.6 juta kali tontonan hanya dalam tempoh sebulan selepas dimuat naik menerusi media sosial.

Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmizah Othman kini dikatakan sedang sibuk persiapkan diri untuk merakamkan video rasmi single I Am Me.

“Saya akan menggunakan khidmat Ghaz Abu Bakar yang memang dikenali sebagai pengarah video muzik lagu-lagu popular dan filem.

“Untuk video muzik I Am Me, akan ada kelainan yang ditampilkan berbanding video muzik lain yang pernah dihasilkan,” katanya.

Ketika ditanya tentang konsep dan idea, apa yang diidam Vida adalah di luar kotak. Dia impi penghasilan video muzik seperti penyanyi antarabangsa, Katy Perry.

“Idea asal daripada saya sendiri dan Ghaz akan menterjemahkannya dalam bentuk visual. Saya ingin menghasilkan video muzik seperti penyanyi antarabangsa, Katy Perry.

“Jadi, satu cabaran buat Ghaz untuk merealisasikan idea itu. Bukan sekadar video muzik, akan ada jalan cerita yang diterapkan supaya berjaya menarik minat menonton,” terangnya lapor Mstar Online.

Tambahnya lagi, proses penggambaran video tersebut akan bermula pada 16 September ini.

“Proses penggambaran berlangsung selama dua hari di lokasi serba mewah, namun dirahsiakan kerana kemewahan adalah salah satu kriteria yang saya mahukan dalam muzik video I Am Me.

“Sebelum ini, saya sudah rakam video muzik untuk lagu ini tetapi tidak puas hati dengan hasilnya. Saya mahukan sesuatu yang lebih ‘wow’ dan mampu menjadi inspirasi buat semua yang menonton,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya soal pelakon untuk video klip itu, Vida berkata dia akan menampilkan aksi anak kesayangannya yang dikenali sebagai Cik B.

Cik B pula dikatakan kini semakin hari semakin mendapat perhatian di laman sosial.

“Cik B pun semakin ramai pengikut di Instagram dan ada peminat sendiri. Jadi, dia akan berlakon dalam video muzik lagu ini,” katanya.

Bagaimanapun, Vida tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi tetapi hanya berharap agar video muzik baru itu mendapat tempat sekaligus menarik perhatian peminat. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura