Dua malam yang panjang dalam lokap: Aliff Aziz

Loading...

SHAH ALAM: Pengalaman dua malam ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi atas dakwaan mengasari isterinya, Bella Astillah, baru-baru ini, membuka mata artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz, mengenai erti kehidupan.

Akui penyanyi dan pelakon terbabit, saat itu hati dan jiwanya terasa begitu dekat dengan Tuhan, malah beliau sentiasa memohon agar diberi ruang untuk lebih menghargai apa yang ada di depan mata.

Artis, Aliff Aziz pada sidang media berhubung insiden rumah tangga mereka baru-baru ini di Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong. – Foto NSTP/Osman Adnan

Beliau turut mendoakan semoga dirinya tidak lagi mengulangi kesilapan lalu, iaitu menduakan isterinya yang baru saja melahirkan anak sulung, Mohamad Ayden Adrean, 8 Julai lalu.

“Dua malam berkenaan terasa amat panjang dan hidup ini seperti begitu gelap. Pengalaman dan tekanan dalam lokap membuka hati saya untuk lebih menginsafi kehidupan. Malah, ia bagai memberi isyarat daripada Tuhan di atas kesilapan yang saya sudah lakukan.

“Saat itu juga saya memang banyak dan tidak berhenti berdoa semoga diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan dilakukan. Malah, saya juga ada berjanji (sesuatu), yang boleh saya katakan menjadi rahsia antara diri ini dengan Tuhan,” katanya.

Menurut Aliff, hari kedua dirinya ditahan, beliau langsung tidak tahu apa yang berlaku di luar, termasuk keadaan isteri dan anaknya.

“Pada suatu ketika, saat saya berbaring dan memanjangkan doa, saya dikhabarkan berita gembira. Saya dapat tahu isteri sudah menarik laporan polis yang dibuatnya. Ia sudah membuatkan saya begitu bersyukur,” katanya.

Aliff berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Memanjatkan kesyukuran apabila diberikan peluang kedua oleh isterinya bagi memperbaiki hubungan rumah tangga, Aliff turut menyifatkan Bella sebagai isteri yang sangat baik.

“Dia isteri yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Malah, tidak wujud istilah ‘queen control’ yang pernah dilemparkan kepadanya, baru-baru ini,” kata Aliff.

Dalam sidang media sama, Aliff turut mengakui silapnya kerana keluar berdua-duaan dengan pelakon drama, Izinkan Aku Mencintaimu, Afifah Nasir, dan memohon maaf atas perbuatannya itu.

sumber:- berita harian

Loading...

Leave a Reply