FAM bakal wujud Divisyen Empat

Loading...

JOHOR BAHRU: Inisiatif baru yang sedang dirancang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menyaksikan saingan Liga Divisyen Empat diperkenalkan dalam usaha memberi pendedahan kepada pemain muda.

Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pelaksanaan liga yang masih di dalam perancangan itu membabitkan lebih banyak pasukan daripada liga komuniti serta pemain bawah 19 tahun.

“Kami akan tambahkan lagi pasukan untuk bermain dalam Piala FA dan mekanisme pembabitan pasukan akan diperhalusi. Kami juga akan adakan satu liga yang mana 26 atau 27 pasukan yang bersaing pada saingan Liga Divisyen Empat.

“Liga ini akan membabitkan pasukan komuniti dan peniaga kecil yang mempunyai kelab sendiri. Tapi syarat penyertaannya adalah mereka perlu sekurang-kurangnya ada empat pemain bawah 19 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan World Leagues Forum (WLF) di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, ia juga salah satu saluran baik dalam menambah lebih banyak pasukan sekali gus merealisasikan usaha pembangunan struktur liga yang lebih kompetitif.

Mengulas mengenai barisan pemain kendalian Bojan Hodak sama ada perlu dikekalkan dan dihantar berlatih di luar negara, Tunku Ismail dilihat kurang bersetuju dengan langkah itu memandangkan barisan pemain harus beraksi di peringkat tertinggi terutama dalam Liga Super atau Liga Perdana.

“Pada saya, mereka (pemain muda) perlu bermain dalam liga kompetitif negara dan liga itu membabitkan saingan sedia ada. Mana ada negara-negara luar buat macam itu (menghantar satu pasukan berlatih di luar negara).

“Ini menguntungkan ejen yang menguruskan tiket dan hotel. Lebih baik mereka bermain pada saingan kompetitif sedia ada,” katanya.

Tunku Ismail juga berpuas hati dengan pencapaian anak didik Hodak yang layak ke pusingan akhir Bawah 19 Tahun Piala AFC di Indonesia selain skuad Bawah 23 kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan bersaing di China tahun depan.

“Mereka bermain baik, sangat bagus. Saya akan memberi fokus kepada pemain muda kerana mereka adalah pemain yang harus diberi tumpuan untuk pembangunan bola sepak negara,” katanya.

kredit:- BH

Loading...