FAM kena ambil tindakan ke atas Safiq

Loading...

KUALA LUMPUR: Hanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang boleh mengambil tindakan ke atas ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, sebagai badan pentadbir yang menguruskan hal ehwal bola sepak di Malaysia, isu Safiq itu tertakluk di bawah bidang kuasa FAM di mana insiden berkenaan berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, AFC sememangnya mendukung semangat Fairplay yang digariskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai garis panduan buat semua pemain yang terbabit dengan sukan paling popular di dunia itu.

“AFC menggunakan Fairplay macam FIFA. Untuk kes mencarut, ia kes domestik yang perlu ditangani pentadbir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Safiq yang memacu kelabnya menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia Sabtu lalu, menimbulkan kontroversi apabila mencarut di depan jurufoto yang sedang merakam detik manis kejayaan pasukan di Stadium Shah Alam itu.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit yang tular di laman sosial, Safiq mengeluarkan kata-kata “P….. kepada semua pengkritik, wa (saya) champion (juara) sekarang” kata Safiq dalam rakaman itu.

Ekoran tindakannya itu, dia menerima kecaman hebat daripada penyokong bola sepak tanah air yang mahu FAM dan pengendali Liga-M, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menghukum tonggak tengah itu seperti mana yang pernah diterima bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney yang digantung dua perlawanan kerana kesalahan mencarut kepada penyokong.

Malah, ada mencadangkan supaya lilitan kapten skuad kebangsaan turut dilucutkan kerana dia menunjukkan contoh yang buruk, selain gagal mengawal emosi dalam keadaan tertekan.

kredit:- BH

Loading...