FELDA bakal terjerumus ke Liga Perdana

Loading...

KUALA LUMPUR: FELDA United berdepan kemungkinan disingkirkan ke saingan Liga Perdana musim depan selepas gagal memperoleh lesen kelab yang ditetapkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Nasib kelab yang beraksi di Liga Super itu kini bergantung kepada Lembaga FMLLP yang dijadual menilai kembali keputusan itu pada pertengahan bulan ini selepas Badan Rayuan Pelesenan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak permohonan lesen mereka.

Selain FELDA, permohonan pasukan dari Borneo, Sarawak juga ditolak.

FMLLP dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini berkata FELDA dan Sarawak gagal untuk memenuhi kriteria kewangan yang diperlukan bagi mendapatkan lesen Liga Super di sebalik diberikan tambahan masa untuk memenuhinya.

Sarawak memang akan beraksi di saingan kedua Liga Malaysia itu musim depan selepas menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ke-11, tetapi FELDA yang menamatkan saingan di tangga ketiga berdepan prospek tersingkir ke liga bawahan.

“Kami belum lagi menerima pertimbangan mengenai rayuan bagi membolehkan Lembaga Rayuan mengeluarkan keputusan dan sejurus kami menerimanya, barulah Lembaga FMLLP boleh membuat tindakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

“Ini bergantung kepada Lembaga FMLLP untuk membuat keputusan mengenai FELDA. Sekalipun FELDA sudah mengambil beberapa langkah yang diperlukan untuk memenuhi kriteria yang diperlukan, badan rayuan merasakan ia tidak mencukupi bagi memenuhi kriteria kewangan.

“Keputusan itu dijangka diketahui pertengahan bulan ini dan selepas itu, baru kami boleh mengesahkan pasukan yang beraksi di Liga Super tahun depan dan ia juga tertakluk kepada keputusan membabitkan FELDA. Sebelum itu, saya tidak boleh bercakap apa yang akan terjadi kepada FELDA,” katanya.

FAM sebelum ini meluluskan permohonan lesen bagi Johor Darul Ta’zim, Pahang, PKNS FC dan Selangor selepas kesemuanya memenuhi kriteria yang diperlukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membolehkan mereka beraksi di saingan kelab Asia, musim depan.

Permohonan T-Team, Perak dan Pulau Pinang juga diluluskan oleh FAM sebelum Lembaga Rayuan menerima permohonan Kedah, Kelantan dan Melaka.

“Hakikat bahawa 10 pasukan sudah berjaya mematuhi sepenuhnya kriteria yang diperlukan adalah satu tanda bahawa semua pihak memandang serius isu lesen ini,” kata Kevin.

“Pelesenan Kelab adalah langkah penting dalam pembangunan bola sepak Malaysia.”

Pasukan yang baru dinaikkan pangkat iaitu Kuala Lumpur dan Terengganu memiliki masa sehingga September tahun depan untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan, tetapi Kevin berkata kedua-duanya hampir melengkapkannya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin berkata kelulusan lesen berkenaan bagi tahun 2018 saja dan boleh ditarik balik.

“Jika ada pasukan gagal memenuhi keperluan yang ditetapkan ketika musim sedang berjalan, lesen mereka boleh ditarik balik menurut peraturan pelesenan kelab FAM,” kata Hamidin.

Enam kriteria iaitu kewangan, infrastruktur, pentadbiran, undang-undang, perniagaan dan aspek kesukanan diperlukan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

sumber:- BH

Loading...