“Fokus Saya Hanya Satu” – Sathianathan

Loading...

PETALING JAYA: Pengendali Felda United mendedahkan persiapan skuadnya kini berjalan lancar.Ketua jurulatih B. Sathianathan berkata, dia tidak memikirkan isu-isu di luar kawalannya dan hanya menjalankan tugas melengkapkan pasukan menjadi lebih mantap.

“Saya akan bersama Felda United sehingga tahun depan memandangkan sudah tandatangan kontrak pada Julai lalu.

“Jadi kini saya hanya menumpukan kepada tanggungjawab menyiapkan pasukan supaya lebih kuat menjelang musim depan.

“Sama ada beraksi dalam liga mana (Liga Super atau Liga Perdana) saya belum pasti,” ujarnya kepada mStar Online mengenainya statusnya di Felda United.

Felda United sebelum ini dilaporkan kemungkinan akan tersingkir ke Liga Perdana kerana kelab yang digelar The Fighters itu gagal mendapat lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Bagi saya, perkara itu di luar bidang saya. Saya hanya persiapkan pasukan dan semuanya berjalan lancar sekarang.

“Setakat ini kami sudah ada beberapa pemain baharu, dua dari Pahang (Syamin Yahya, Christie Jayaseelan) dan dua dari PKNS (Khairul Azrin Khazali, Azreen Zulkifli).

“Kami juga ada pemain import Thiagho Junior (Perak). Kini masih mencari dua orang lagi pemain,” ujarnya.

Dalam saingan Liga Super 2017, Felda United menamatkan saingan di kedudukan ketiga liga dan menjadi salah sebuah pasukan yang diberi perhatian.

Mereka kini terpaksa menunggu ‘budi bicara’ Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) supaya mereka tidak jatuh ke Liga Perdana.

sumber:mstar

Loading...