Hanya Terengganu beraksi Liga Super musim depan

Loading...

KUALA TERENGGANU: Desas-desus melanda bola sepak di negeri ini akhirnya terjawab apabila kerajaan negeri kekal dengan keputusan melakukan penjenamaan semula membabitkan dua pasukan Terengganu dan T-Team musim depan.

Kerajaan negeri mengumumkan lima pasukan baharu berada di bawah pengawasan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) iaitu Terengganu FC I (TFCI) yang beraksi di Liga Super, TFC II (Liga Perdana), TFC III (Piala Presiden), TFC IV (Piala Belia) dan TFC V (Piala KPM Bawah 17 Tahun).

Keputusan itu dicapai dalam Kongres Tahunan PBSNT dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, di sini sebentar tadi.

Ahmad Razif yang juga Presiden PBSNT berkata, pihaknya bersetuju melakukan perubahan itu demi memajukan sukan bola sepak di Terengganu.

Beliau berkata, T-Team yang dibubarkan dan dikenali sebagai TFCII akan menjadi kelab pelapis kepada TFCI apabila dibarisi pemain kelahiran Terengganu.

“Musim depan, hanya satu pasukan iaitu TFCI di bawah bimbingan ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan, Irfan Bakti Abu Salim akan beraksi dalam kancah Liga Super.

“TFCII yang dibarisi anak Terengganu akan menjadi kelab pelapis kepada TFCI bermain dalam Liga Perdana,” katanya selepas kongres itu.

Pada kongres itu, Ahmad Razif mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada ahli gabungan PBSNT iaitu Persatuan Bolasepak Daerah yang sebelum ini hanya menerima RM5,000 setahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, penstrukturan dan penjenamaan semula pasukan bola sepak sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung terhadap dua pasukan sebelum ini, Terengganu dan T-Team.

“Kami hanya ada satu pasukan terkuat yang dibarisi pemain hebat iaitu TFCI beraksi di Liga Super dan sasaran kami sekurang-kurangnya mahu memastikan pasukan ini menjulang satu piala musim depan,” katanya.

kredit:- BH

Loading...