Hikmah di sebalik dilabel ‘jakun’

Loading...

JURUSOLEK yang dikecam di laman sosial berikutan membuat tutorial solekan dari London dan Paris bulan lalu, bersyukur kerana rezekinya bertambah selepas insiden itu.

Siti Nurfarahain Zakaria, 29, berkata, meskipun sedih apabila dikecam hebat termasuk dituduh budak kampung yang ‘jakun’ ketika membuat tutorial itu, namun dia tidak menduga insiden berkenaan membawa hikmah buat dirinya.

Menurutnya, selepas insiden itu, dia yang mempunyai ‘School of Makeup’ semakin dikenali, sekali gus menjadi pilihan ramai wanita yang mahu mempelajari asas persolekan.

“Mulanya saya akui agak terkesan dan sedih apabila mendapat tahu video yang saya rakam menampilkan tutorial solekan ketika bercuti di London dan Paris, akhir Oktober lalu menerima kecaman melalui ruangan komen.

“Namun, saya enggan tunduk dengan kecaman itu, sebaliknya menjadikan ia pemangkin semangat untuk terus melakukan tutorial solekan untuk pengikut kerana saya berniat membantu wanita yang mahu tampil cantik,” katanya ketika ditemui di pejabat NSTP Kedah di Alor Setar, hari ini.

Siti Nurfarahain mula dikenali selepas video berdurasi 25 minit menampilkan dirinya melakukan tutorial solekan berlatarbelakangkan Menara Eiffel dan kota raya London dikecam pelayar laman sesawang yang menuduhnya sebagai ‘Budak kampung dari Kedah jakun di kota London’.

Selain itu, dia yang berasal dari Taman Wira Mergong, Alor Setar turut dituduh menjatuhkan maruah negara selain menggunakan wang orang ramai untuk bercuti di luar negara.

Menceritakan semula insiden itu, katanya, dia tidak mengetahui aksinya dikecam sehinggalah dia dan suami pulang dari bercuti.

Menurutnya, dia terkejut apabila membaca cerita mengenai dirinya melalui blog tempatan seminggu selepas pulang.

“Semasa membuat video tutorial itu, saya tidak membaca komen dan hanya menyedari aksi saya dikecam ketika pulang dari bercuti, namun sebenarnya lebih ramai yang menyokong daripada mengecam,” katanya.

Tidak serik meskipun dikecam, dia terus mengimpikan untuk membuat tutorial solekan dari Korea pula selepas ini.

Malah, hikmah daripada kejadian itu, Siti Nurfarahain akan melancarkan program ‘Jalan-jalan Mai Mekap’ di akaun Facebook, ‘School of Makeup-by Siti Nurfarahain’ yang menampilkan aksinya melakukan tutorial solekan dari tempat menarik di seluruh negara.

Dia yang mempunyai 946,078 pengikut di Facebook berkata, selain menampilkan aksi solekan, program itu juga akan mempromosikan tempat pelancongan menarik di seluruh negara.

sumber:- HM

Loading...