Hodak: Malaysia ketinggalan 10 tahun di belakang Korea Selatan

Loading...

Jurulatih skuad B-19 tahun negara, Bojan Hodak, menegaskan Malaysia berada di belakang Korea Selatan sebanyak 10 tahun yang menjadikan aksi terakhir bertemu gergasi Asia itu berkesudahan tewas 3-0 dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19, di Paju, hari ini.

Hodak akur dengan kekurangan anak buahnya dan menuntut masa untuk mereka berada pada kedudukan lebih baik satu hari nanti.

Persembahan yang dipamerkan oleh pasukan tuan rumah ternyata berada pada tahap yang berbeza apabila anak buah Hodak kelihatan sukar untuk menghasilkan percubaan sepanjang 90 minit.

“Malaysia memerlukan perubahan besar dalam pembangunan baru. Untuk menghasilkan pemain yang berkualiti, anda memerlukan lapan hingga 10 tahun. Malaysia ketinggalan 10 tahun di belakang Korea daripada segi pembangunan.

“NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) telah memulakan program akar umbi dan TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang dipilih sebagai Presiden FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) telah melakukan beberapa perubahan. Untuk mendapatkan keputusan positif anda memerlukan masa,” katanya.

Malaysia tampak sukar untuk mencari peluang menghasilkan jaringan sehingga Korea Selatan mudah mencetak dua jaringan dalam babak pertama selain jaringan penalti yang membawa kepada kemenangan mereka.

“Pasukan yang berkualiti sering menghukum ketika kita melakukan kesilapan. Dalam separuh masa kedua, kami cuba untuk bersaing dengan mereka.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan persembahan pasukan,” katanya lagi.

kredit:- stadium astro

Loading...