‘Hormati suami saya’ – IZREEN Azminda.

Loading...

Nama pelakon Izreen Azminda, 32, kembali hangat diperkatakan apabila status perkahwinannya sebagai isteri kedua kepada pemuzik program Gegar Vaganza 4 (GV4), Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude terbongkar.

Sejak itu, pelbagai spekulasi timbul terhadap perkahwinan yang dibina pada 8 Ogos lalu. Malah, tidak kurang juga yang melontarkan cacian dan hinaan selain Izreen dituduh sebagai perampas.

Pun begitu, Izreen mengambil pendekatan untuk berdiam diri. Sebaliknya dia membiarkan suaminya, Ude menjawab segala persoalan ditimbulkan.

Enggan terus diperlakukan di media sosial, Izreen yang juga pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan mengambil pendekatan untuk menutup ruangan komen.

Bagi Izreen, dia bukan mengelak daripada berdepan cemuhan khalayak, tetapi itu cara terbaik untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

“Sebelum saya menutup ruangan komen, pelbagai maklum balas diterima. Kebanyakannya menghentam saya dan berkata macam-macam seolah-olah apa yang dilakukan adalah satu jenayah berat. Walaupun tidak membaca satu-persatu komen yang ditinggalkan, tetapi saya dapat rasakan kemarahan mereka.

“Untuk tidak mengeruhkan keadaan, saya mengambil keputusan menutup ruangan komen. Bukan takut atau lari daripada masalah, tetapi saya berasakan ‘serangan’ yang dibuat tidak membantu pun. Malah, komen mereka itu boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Tidak hanya komen keterlaluan, peminat juga saling bertelagah dan bergaduh dengan hujah masing-masing. Saya tahu ada antara mereka cuba membela dan memberikan kata-kata semangat. Saya sangat berterima kasih. Cuma, saya minta maaf kerana buat masa sekarang biar saya menutup seketika ruangan komen,” katanya.

Namun, Izreen tetap diburu pengguna laman sosial terutama ‘haters’, tetapi dengan cara menyerang menerusi status yang dimuat masing-masing di laman sosial.

Boleh dikatakan sepanjang minggu lalu, nama Izreen dan status perkahwinannya itu menjadi ‘trending’ dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, Izreen turut menyatakan kesal terhadap sikap pengguna laman sosial yang menyerang Instagram rakan baiknya, Rita Rudaini.

“Saya tahu mereka kalau tidak puas hati akan cari sehingga lubang cacing. Jadi, apabila tidak dapat berbuat sedemikian di Instagram saya, orang lain pula jadi mangsa. Kenapa perlu bertindak sebegitu? Rita tidak bersalah dalam perkara ini. Berhenti ganggu dia dan jadi manusia yang boleh berfikir secara waras.

“Saya juga ingin ingatkan kepada orang luar, kalau boleh jangan jadi batu api. Ini membabitkan perkahwinan, jadi ia adalah hak privasi saya bersama suami dan isteri pertama. Cara mereka bercakap seolah-olah mereka hidup dan berada 24 jam bersama kami.

“Seperti suami saya katakan sebelum ini, beri dia ruang untuk menguruskan sendiri kedua-dua isteri dan keluarga. Campur tangan pihak luar boleh menambahkan lagi kekusutan,” katanya.

IZREEN Azminda. FOTO Amir Naufal Photography

Tak ada niat jadi perampas

Izreen juga menjelaskan, dia merahsiakan perkahwinan yang dibina selama hampir empat bulan daripada pengetahuan umum atas permintaan suami.

“Apabila kami sah berkahwin, suami bertanggungjawab penuh atas diri saya. Jadi, saya terpaksa akur dengan permintaan suami. Dia minta supaya tidak menghebahkan berita ini sementara waktu memandangkan ini pernikahan kali kedua saya.

“Saya faham status sebagai selebriti seharusnya berkongsi perkara ini. Namun, sekali lagi saya ingin memohon maaf kerana tidak memberitahu kepada umum sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya.

Izreen berkata, dia tidak perlu akur atau tunduk dengan permintaan masyarakat yang seperti tidak merestui keputusannya berkahwin dengan pemuzik itu.

“Saya harap hentikan sebarang kenyataan yang anda sendiri tidak tahu apa yang terjadi dalam rumah tangga kami. Paling penting jangan cepat menjatuhkan hukum dengan apa yang anda baca dan lihat.

“Saya tidak perlu mencari bukti untuk menunjukkan kebenaran kerana kebenaran yang sebenar akan datang sendiri, biar masa yang menentukan. Cukup hanya doa yang terbaik daripada anda semua dan semoga segalanya dipermudahkan buat saya, suami dan madu, Intan,” katanya.

Menurut Izreen, perkahwinan yang dibina bersama Ude adalah jodoh dan ketentuan Allah.

Izreen menegaskan, dia tidak pernah berniat merampas hak dan kasih sayang daripada isteri pertama Ude, Intan Liana.

“Saya masih waras dan ada hati serta perasaan. Apabila berkahwin, saya tidak terfikir perlu berlaku perpisahan membabitkan suami dengan isteri pertama. Ini pilihan saya, jadi saya perlu terima dengan lapang dada. Malah, saya perlu bersabar dalam mengharungi perjalanan ini.

“Saya hanya ingin menumpang kasih dan tidak pernah sesekali berhasrat merampas kebahagiaan suami dengan isteri pertama. Bagi saya, ini takdir yang tertulis untuk saya. Saya pasrah dan reda.

“Kalau saya perampas seperti dilemparkan masyarakat, pasti suami saya tidak lagi bersama Intan. Saya faham tidak ada mana-mana perempuan yang ingin menjadi nombor dua, tiga atau empat. Kalau saya ada pilihan, tiada ketetapan dari awal, saya tidak mungkin pilih jalan ini,” katanya.

kredit:- HM

Loading...