Idris Khan nikah gadis Maghribi bulan depan

Loading...

KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun menjalin hubungan, pelakon tinggi lampai, Idris Khan mengakui, sudah bersedia untuk menyunting kekasihnya iaitu gadis kelahiran Maghribi, Sanaa Jaffer sebagai suri hidup.

Pelakon berdarah campuran Melayu – Pakistan yang memiliki nama penuh, Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan itu berkata, mereka akan melangsungkan perkahwinan bulan depan, tetapi tidak mendedahkan tarikh sebenar.

“InsyaAllah, kami akan melangkah ke jenjang pelamin bulan depan. Januari depan genap dua tahun saya mengenali Sanaa dan sepanjang mendekatinya, saya lihat dia memenuhi ciri yang saya cari sebagai suri hidup.

“Saya selesa dengannya kerana Sanaa memahami apa yang saya lakukan. Tidak mudah untuk mereka yang berada di luar lingkungan dunia hiburan memahami insan seni, tetapi bakal isteri pula sebaliknya.

“Dia sudah mula faham cara kerja saya, malah boleh membiasakan diri dengan persekitaran kerjaya yang tidak menentu masa. Saya berharap perancangan kami ke arah yang lebih baik itu akan dipermudahkan,” katanya teruja.

Idris berkata, tidak hanya meraikan kegembiraan untuk menjadi suami, Disember ini juga menghadiahkan satu lagi berita manis apabila filem pertama terbitannya, KL Wangan yang diterbitkan bersama-sama beberapa rakan kongsi termasuk Pekin Ibrahim bakal ditayangkan.

“Alhamdulillah, segala persediaan akhir sebelum filem ini menjengah pawagam sudah hampir selesai. Saya mengakui, teruja untuk melihat hasilnya nanti kerana ia percubaan pertama dan terbesar pernah saya lakukan,” katanya.

sumber:- BH

Loading...