Jalaluddin Hassan sah bergelar suami

Loading...

KUALA LUMPUR: Pelakon versatil, Datuk Jalaluddin Hassan, sah bergelar suami kepada Rapidah Abd Ghani, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, di sini, kira-kira jam 10.55 pagi tadi.

Jalaluddin, 63, dinikahkan abang kepada Rapidah, 44, yang juga penggiat teater, Lokman Abd Ghani di hadapan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Mohd Faisal Mohd Noor, dengan mas kahwin RM300.

Majlis turut disaksikan bapa Jalaluddin, Tan Sri Hassan Azhari, 89.

Perkenalan selama empat bulan menerusi laman sosial Facebook menyatukan pasangan yang tampil dengan persalinan rona putih itu.

Rapidah yang juga ibu tunggal, turut menerima lima dulang hantaran termasuk sebuah kerusi urut berharga RM20,000 dan dibalas tujuh dulang hantaran.

Majlis yang dihadiri kira-kira 100 tetamu merangkumi ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan sahabat handai, turut dihadiri rakan artis, Ashraf Muslim, Arash Mohamad dan Den Wahab.

Pasangan mempelai kemudian diraikan pada majlis ringkas di perkarangan masjid. Jalaluddin dan Rapidah mengambil peluang bertemu ahli keluarga dan jemputan yang mengucapkan tahniah kepada mereka.

Jalaluddin menduda selama setahun susulan kematian isteri tercinta, Datin Hashimah Aksan, pada 5 November tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga selama 40 tahun.

sumber:- BH

Loading...