JDT Cipta rekod lagi Julang Trofi Piala Malaysia 2017

Loading...

SHAH ALAM: Lengkap! Johor Darul Tak’zim (JDT)   menambah koleksi  trofi kejuaraan Liga Malaysia apabila dinobatkan juara Piala Malaysia 2017.

Skuad Harimau Selatan yang merakamkan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut melebarkan penguasaannya dalam bola sepak tempatan dengan mengesahkan  kemenangan  2-0 ke atas Kedah pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

Dengan kehadiran gelombang warna warni penyokong yang hadir, perlawanan berlangsung penuh sengit.

Bahang mula dirasai sejak wisel sepak mula ditiup oleh pengadil perlawanan Razlan Jofri Ali.

Anak buah Ulisses Morais mula melangkah lebih pantas merebut peluang melakukan serangan awal memberi tekanan di depan gol Kedah.

Seawal minit kedua, stadium gemuruh dengan tepukan penyokong JDT apabila tandukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak tepat ke arah gawang.

Tersentak dengan jaringan awal JDT, anak buah Mohd Nudzam Adzha Yusoff mula bangkit cuba mencari jalan melakukan serangan.

Namun agak sukar memandangkan bentang pertahanan JDT kental untuk dibolosi.

Permainan babak pertama kekal dengan keputusan berpihak kepada Harimau Selatan dengan satu gol.

Bersambung ke babak kedua, Kedah terus cuba mengatur serangan.

Peluang terbaik hadir dengan percubaan Baddrol, malangnya terkena palang.

Minit ke-62 stadium sekali lagi bergema dengan sorakan penyokong biru merah selepas Gonzala Gabriel Cabrera Giordano berjaya menyumbat jaringan kedua untuk JDT.

Tidak dinafikan JDT mempunyai segala kelebihan untuk menafikan impian Kedah yang ingin mempertahankan kejuaraannya musim lalu.

Jaringan dua gol JDT cukup untuk mereka merampas piala tertua di benua Asia ini daripada Kedah tahun ini.

Kemenangan ini juga mencalar rekod seri dalam dua pertemuan saingan Liga Super sebelum ini yang menyaksikan kedegilan kedua-dua pasukan dalam menjaringkan gol.

Namun, pentas akhir Piala Malaysia ini telah membuktikan persaingan hebat di antara dua pasukan terbaik bola sepak tempatan yang berpihak kepada kelab dari selatan tanah air tahun ini.

Kali terakhir Johor menjulang trofi tertua di Asia Tenggara ini pada tahun 1991, di Stadium Merdeka.

Bagaimana pun, ia pertama kali dijulang semenjak Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih dan mengubah lanskap baharu  kelab yang dikenali JDT sejak tahun 2013.

Untuk rekod keseluruhan, JDT merupakan  juara Piala FA 2016, Piala Sumbangsih  (2015,2016) serta  Liga Super (2014,2015,2016,2017).

kredit:- mstar

Loading...