JDT gugur tiga pemain

Loading...

KUALA LUMPUR: Tiga bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Azamuddin Akil, S Chanturu dan R Gopinathan tidak lagi akan beraksi bersama juara Liga Super empat kali berturut-turut itu bermula musim depan.

Pengguguran tiga pemain itu diumumkan sendiri Pengarah Sukan pasukan itu, Martin Prest menerusi akaun rasmi Facebook, Johor Southern Tigers (JST), hari ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Azammuddin Akil dan R Gopinathan yang berasal dari Pahang serta S Chanturu dari

Kedah atas jasa dan bakti mereka ketika bersama kelab selama ini.

“Kerja keras dan dedikasi mereka sehingga berjaya menjulang beberapa piala sepanjang berkhidmat untuk JDT amat kami hargai,” katanya.

Kehilangan tiga pemain dilihat sudah berusia itu menguatkan lagi spekulasi beberapa bintang muda akan ke pasukan yang meraih gelaran berganda pada musim ini membabitkan Adam Nor Azlin (Selangor), Adib Zainuddin (FELCRA FC), Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dan Nor Azam Azih dari Pahang.

Sebagai rekod, Chanturu menyertai JDT dari Sarawak pada 2015 diikuti Azamuddin pada 2016 sebelum Gopinathan yang beraksi bersama Selangor musim lalu, menyarung jersi pasukan Harimau Selatan itu pada awal musim ini.

Bagaimanapun, hanya Chanturu dan Azamuddin yang lebih dikenali sebagai Alex memiliki banyak peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama itu manakala Gopinathan bergelut apabila hanya diturunkan dalam beberapa perlawanan saja.

Begitupun Chanturu dan Gopinathan dikatakan akan menyertai Melaka United (MU) yang mahu memperkuatkan pasukan itu bagi mengharungi musim baharu Liga Super.

sumber:- BH

Loading...