JDT terima piala baharu Liga Super malam esok

Loading...

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) yang muncul juara Liga Super musim ini akan menerima piala dengan reka bentuk baharu selepas aksi pasukan itu dengan Kelantan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Piala baharu seberat 20 kilogram, diperbuat daripada tembaga, perak dan emas tulen 24 karat bernilai RM150,000 dengan ketinggian 63.3 sentimeter (sm) serta berdiameter 25.2 sm di bahagian tapak itu direka khas oleh tukang emas Diraja Johor sebelum diperkenalkan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, langkah Perkongsian Liabiliti Terhad Bola sepak Malaysia (FMLLP) memperkenalkan piala baharu itu adalah wajar dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti Liga Malaysia (Liga M).

Tunku Ismail yang juga Pengerusi FMLLP berkata, penambahbaikan bukan sahaja membabitkan piala, sebaliknya program akar umbi perlu diperkemaskan selain hak penyiaran yang bakal memberi pulangan kepada persatuan bola sepak negeri dan kelab.

“Kita memang menitikberatkan nilai dan kualiti piala kerana kita mahu setiap pasukan yang bertanding melihat betapa segala usaha perit jerih tatkala beraksi dalam kancah Liga M mendapat pulangan dengan menjulang piala yang berprestij.

“Kemungkinan Piala FA juga akan diubah dengan reka bentuk baharu manakala Piala Malaysia, saya tidak buat apa-apa perubahan kerana ia sangat berprestij. Biar ia kekal dengan status berkenaan,” kata Tunku Ismail yang hadir untuk menyaksikan pelancaran piala baharu itu, hari ini.

TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan (kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah FMLLP, Razali Dolhan (kanan) menunjukkan trofi baru ketika majlis memperkenalkan trofi Liga Super di Johor Bahru. – Foto Hairul Anuar Rahim

Pengenalan piala baharu bagi menggantikan Piala Liga Super yang sudah berusia 13 tahun dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusof Mahadi.

Turut hadir Setiausaha Agong FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Ekskutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Sementara itu, Kevin menegaskan perancangan untuk mencipta piala baharu dilakukan sejak 2015 selepas FMLLP ditubuhkan bagi menyelaras saingan Liga M dan tiada kena mengena dengan kejayaan JDT menjuarai Liga Super untuk musim keempat berturut-turut.

“Ingin saya tegaskan, perancangan untuk mereka piala baharu dibuat sejak tiga tahun lalu dan tidak direka atas alasan ada pasukan yang menyimpannya selepas memenangi tiga atau empat kali berturut-turut.

“Piala itu direka sejajar dengan alaf baru bola sepak Malaysia tatkala bergerak ke arah penswastaan,” kata Kevin.

kredit:- berita harian

Loading...

Leave a Reply