Joseph tunggu isyarat, pasukan Lembah Klang Atau Utara

Loading...

KUALA LUMPUR: Selepas sah khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh Pahang, Joseph Kalang Tie kini sedang memikirkan haluannya musim depan dengan Lembah Kelang atau utara tanah air menjadi destinasi untuk meneruskan karier.

Joseph, salah seorang daripada lapan pemain yang tidak dikekalkan skuad Tok Gajah musim depan berkata pengesahan yang dibuat oleh Persatuan Bola sepak Negeri Pahang (PBNP) baru-baru ini membolehkan dia menimbang tawaran daripada pasukan lain.

“Sebelum ini saya masih mengharap untuk kekal bersama Pahang walaupun sudah mendapat bayangan kontrak saya mungkin tidak disambung.

“Walaupun hanya semusim bersama pasukan itu namun ia tetap satu kebanggaan kepada saya kerana pernah mewakili Pahang, antara kuasa besar bola sepak Malaysia.

“Justeru, dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu baru-baru ini, saya sudah boleh memikirkan hala tuju seterusnya,” kata Joseph ketika dihubungi di Kuching, Sarawak.

Menurut Joseph, 30, beberapa pasukan sudah merisik, namun setakat ini dua pasukan menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmatnya.

“Saya tidak boleh sebut nama pasukan, cuma boleh katakan satu dari Lembah Kelang dan sebuah lagi dari utara tanah air.

“Saya sedang menimbangkan kedua-dua tawaran itu dengan keutamaan diberi kepada pasukan yang dapat memberi peluang bermain sekerap mungkin.

“Ini kerana, pada peringkat ini, kepuasan bermain menjadi keutamaan saya berbanding soal lain. Saya yakin jika dapat kerap bermain serta menunjukkan kemampuan sebenar, soal gaji akan menyusul sendiri.

“Saya juga mahu menyertai pasukan yang mempunyai kesungguhan untuk bergelar juara kerana sepanjang kira-kira 15 tahun bermain, baru dua kali saya memenangi piala.

“Saya ingin mengecapnya bersama Pahang musim ini tapi sayang tidak kesampaian bila kami hanya muncul naib juara Piala FA dan Liga Super,” katanya.

Joseph pernah menjulang Piala FA bersama Terengganu pada 2011 dan kejuaraan Liga Perdana 2013 bersama negeri kelahirannya, Sarawak.

sumber:- BH

Loading...