Kafa ambil langkah undur ke belakang

Loading...

KOTA BHARU 8 Nov. – Tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membuat sesi pemilihan terbuka untuk pemain amatur menyarung jersi The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi saingan Liga Super 2018 disifatkan sebagai langkah mengundur ke belakang.

Bekas pemain Kelantan, Salim Mahmud Muhaidin berkata, langkah tersebut hanya dilihat sesuai untuk pasukan yang beraksi dalam saingan tempatan seperti kejohanan peringkat daerah atau Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) sahaja.

Menurutnya, Kafa tidak sepatutnya melakukan pemilihan secara terbuka kerana mereka sudah mempunyai pemain berkualiti yang sedang berkasi bersama pasukan Piala Presiden.

“Apa yang dilakukan oleh Kafa ini seolah-olah menunjukkan badan induk itu tidak mempunyai sistem, tambahan pula pemilihan itu dibuat dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja. Macam mana kita nak nilai kemampuan pemain tersebut dalam tempoh singkat.

“Kalau betul-betul nak pilih pemain, bentuk satu kumpulan kemudian aturkan perlawana persahabatan menentang pasukan kuat. Dari situlah Kafa boleh buat penilian, ini tidak lawan pula yang sama taraf dengan pemain tersebut iaitu pasukan LBR,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Kafa membuat pemilihan pemain terbuka ke atas pemian amatur yang sedang beraksi bersama pasukan LBR untuk menyarung jersi TRW musim 2018.

Salim memberitahu, Kafa sepatutnya memberi peluang kepada bakat-bakat muda yang sedang beraksi bersama skuad Piala Presiden untuk bermain bersama Kelantan.

Katanya, inilah masa terbaik untuk Kafa memberikan peluang kepada pemain skuad Piala Presiden yang sudah mempunyai pengalaman luas beraksi dalam saingan kompetetif untuk membuktikan kemampuan.

“Amat malang bakat muda yang hebat diperam terlalu lama atau dilepaskan kepada pasukan lawan kerana akan merugikan Kelantan,” ujarnya.

kredit – UTUSAN ONLINE

 

Loading...