Kedah tak perlu gentar: Keon

Loading...

SHAH ALAM: Penyandang juara, Kedah tidak harus gentar untuk turun bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Apa tidaknya, skuad Helang Merah berjaya mengelak daripada menjadi mangsa ‘cengkaman’ skuad Harimau Selatan itu pada saingan Liga Super yang menyaksikan kedua-dua pasukan sama liat, sama mantap dan terpaksa berpuas hati seri dalam dua aksi liga musim ini.

Malah, mereka juga memiliki ‘kelebihan psikologi’ apabila berjaya merobek ego juara Liga Super empat kali berturut-turut itu selepas menumbangkan lawan dalam penentuan sepakan penalti sekali gus merangkul Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, awal musim ini.

Justeru, kapten Khairul Helmi Johari mengharapkan rakan sepasukannya dapat meneruskan momentum itu pada perlawanan itu apatah lagi mereka memiliki hajat besar tidak membenarkan trofi Piala Malaysia itu dibawa pulang ke bumi Darul Ta’zim.

“Kalau dilihat daripada dua aksi bertemu JDT sebelum ini, sememangnya perlawanan begitu seimbang dan 50-50 dan dengan aksi final, jangkaan penyokong kedua-dua pasukan sudah pasti begitu tinggi.

“Piala Malaysia akan menjadi milik pasukan yang memperagakan aksi terbaik malam esok (malam ini). ‘Mood’ pasukan juga berada dalam keadaan yang terbaik jadi kami akan pastikan dapat mempertahankan piala berprestij ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media menjelang final di Stadium Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama, pertahanan tengah kebangsaan itu juga mengakui semangat rakan sepasukannya tetap membara untuk beraksi pada final walaupun selepas berjaya mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut.

“Ini tahun ketiga Kedah beraksi di final jadi saya mahukan rakan sepasukan tidak kira pemain dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan dapat mengekalkan fokus dan memberi sepenuh komitmen untuk perlawanan ini.

“Tiada apa yang berbeza mengenai perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, yang bertukar hanyalah pasukan yang akan kami temui dan saya akui JDT cabaran terbesar buat kami di final nanti,” katanya

sumber:- BH

Loading...