Kelantan risik Wan zack

Loading...

PAsukan Kelantan giat mencari pemain bagi menaikkan imej gergasi pantai timur itu semula selepas mengalami musim yang teruk tahun ini. Kelantan cuba mendapatkan pemain berpengalaman seperti Wan zack.

Walaubagaimanapun, KELANTAN berputih mata untuk mendapatkan khidmat Wan Zack Haikal Wan Nor apabila pemain kebangsaan itu memberikan komitmen untuk kekal bersama FELDA United.

Ini diakui sendiri pemain itu sebagai menjawab spekulasi penghijrahannya ke pasukan bergelar The Red Warriors seperti digembar-gemburkan melalui media sosial.

Menurut Wan Zack, walaupun belum menandatangani kontrak baru secara rasmi, namun dia sudah menyatakan persetujuan bertulis kepada pengurusan FELDA untuk terus bersama kelab itu musim depan.

“Saya akui memang pernah dirisik oleh Kelantan tapi selepas berfikir panjang, rasanya elok saya bermain sekurang-kurangnya semusim lagi bersama FELDA.

“Ini kerana sepanjang semusim bersama mereka, saya berasa amat selesa. Jurulatih (B Sathianathan) banyak membantu saya memulihkan prestasi selepas mengalami kecederaan agak serius sebelum ini.

WAN Zack (kanan) selesa dengan kendalian Sathianathan.

“Malah, sejak bersama FELDA, saya memperoleh keyakinan baru hingga mampu meraih semula tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Di samping itu, saya melihat pasukan ini mempunyai potensi untuk mencabar kejuaraan musim depan selepas menduduki tangga ketiga Liga Super serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Wan Zack yang baru pulang dari tugasan bersama skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Buriram, Thailand berkata, kecuali berlaku sesuatu di luar dugaan, dia hampir pasti menyarung jersi FELDA musim depan.

“Saya sudah menandatangani persetujuan untuk kekal bersama FELDA, cuma belum menandatangani kontrak. Mungkin saya akan lakukan sehari dua lagi,” ujar Wan Zack.

Pemain kelahiran Pahang berusia 26 tahun itu pernah mewakili Kelantan selama tiga musim bermula 2014 selepas kecederaan memendekkan aksinya bersama kelab profesional Jepun, FC Ryukyu yang disertai pada April 2013.

Selain Wan Zack, seorang lagi pemain FELDA, Norshahrul Idlan Talaha turut dikaitkan dengan penghijrahan ke Kelantan.

Namun bekas bintang kebangsaan yang mesra dengan panggilan Mat Yo itu juga belum memberi kata putus.

sumber:- HM

Loading...