Ken Ilso, Zack Anderson akhiri karier bersama Kedah

Loading...

PENYERANG import Kedah, Ken Ilso Larsen kecewa apabila mengakhiri kariernya bersama Lang Merah dengan kegagalan mempertahankan trofi Piala Malaysia selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), malam kelmarin.

Beliau yang tidak menyambung kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagaimanapun berterima kasih kepada pengurusan, rakan sepasukan serta penyokong Lang Merah di atas sokongan padu selama ini.

Jelasnya, walaupun tidak lagi bersama pasukan itu musim depan namun kenangan manis bersama akan terus terpahat dalam memorinya.

“Sejujurnya saya sangat emosional untuk mengucapkan salam perpisahan bersama rakan sepasukan, staf dan penyokong Lang Merah.

“Apatah lagi untuk meninggalkan pasukan dengan cara ini (gagal mempertahankan trofi Piala Malaysia).

“Tapi, saya ada satu musim yang baik di sini. Saya rasa begitu dihargai penyokong dan itulah perkara yang akan saya rindui,” katanya.

Nada sama turut diluahkan seorang lagi pemain import Kedah, Zac Anderson yang akan kembali ke negara asalnya, Australia selepas ini.

“Terima kasih kepada semua orang yang hadir ke dalam hidup saya sepanjang berada di Malaysia.

“Walaupun dibelenggu kecederaan yang agak panjang, tetapi saya menerima sokongan padu semua pihak dan ini menjadikan musim yang baik yang akan terus saya kenang sampai bila-bila,” katanya.
Sumber : SH

Loading...