Kerabat diraja, ahli politik tak sesuai

Loading...

KUALA LUMPUR: Penyertaan kerabat diraja dan juga ahli politik dalam persatuan bola sepak negeri (FA) di negara ini disifatkan tidak sesuai terutamanya apabila mereka terbabit secara terus dengan memegang jawatan penting dalam persatuan itu.

Ini berikutan landskap bola sepak negara ini dilihat tidak bertepatan dengan reputasi dan kredibiliti yang dimiliki golongan terbabit memandangkan mereka berdepan pelbagai kritikan yang sudah pasti menjatuhkan air muka mereka yang terbabit dalam pengurusan FA di negara ini.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad menjelaskan mereka masih boleh membabitkan diri dengan bola sepak namun langkah terbaik adalah dengan mengambil tanggungjawab secara ‘belakang tabir’ sahaja.

“Kita akui kerabat diraja dan ahli politik memiliki banyak sumber yang boleh dimanfaatkan. Tetapi adalah lebih baik mereka tidak terbabit dalam pengurusan dengan menjadi penaung ataupun penaja untuk memastikan kedudukan kewangan pasukan dapat berjalan dengan lancar.

“Bukan tidak boleh menjadi presiden atau memegang jawatan penting, namun harus diingat mereka perlu berdepan pelbagai kritikan daripada banyak pihak. adi sangat tidak manis jika individu memiliki reputasi yang begitu besar dimalukan seperti itu.

“Malah, saya lihat ahli politik sebenarnya memiliki lebih banyak kerja yang perlu dilakukan berbanding mengendalikan pasukan. Untuk menjadi presiden, mereka perlu meluangkan banyak masa kerana harus bersama pasukan dan mengambil tahu apa sahaja yang terjadi dalam pasukan mereka.

“Namun, saya beranggapan tidak ada salahnya jika mereka ‘berhati kental’ dan mampu menerima teguran mahupun kritikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, angin perubahan dalam penyokong skuad Helang Merah makin kencang apabila Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) turut mendesak agar Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melepaskan jawatan susulan kegagalan menguruskan persatuan itu dengan baik.

Sebaliknya, LMFA mahu badan induk bola sepak negeri itu diterajui Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim yang dipercayai mampu membawa perubahan besar kepada KFA.

Menurut Pengerusi LMFA, Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Fadzelah, pemilihan Tunku Puteri Intan Safinaz dilihat tepat berdasarkan kemampuan dan ketokohan beliau untuk melakukan transformasi ke atas pengurusan dan pentadbiran persatuan bola sepak itu.

kredit:- BH

Loading...