Kes Felda United Rumit – FMLLP

Loading...

STATUS penyertaan FELDA United FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan sehingga kini masih jadi tanda tanya.

Ia berikutan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memerlukan dua hari lagi untuk meneliti dokumen dan pelbagai aspek sebelum menentukan status sebenar skuad The Fighters itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya perlu menimbang pelbagai perkara kerana sebarang keputusan bakal menghadirkan impak besar.

“Oleh kerana keputusan membabitkan FELDA United FC ini satu hal yang rumit dan mempunyai impak besar, lembaga pengarah meminta sehari atau pun dua hari lagi.

“Permintaan ini bukan disebabkan dokumen dari FELDA belum cukup. Tidak ada apa lagi yang kami minta daripada FELDA sebaliknya hanya berkisar kepada kami sendiri untuk menilai dan buat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, ketua jurulatih FELDA United, B Sathianathan mengakui bimbang mengenai kedudukan skuad The Fighters ekoran kegagalan kelab itu mendapatkan lesen untuk beraksi di Liga Super.

Bagaimanapun, Kevin mengesahkan permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk melakukan penstrukturan semula Terengganu FC II (TFC II) dengan menjadikan kelab berkenaan sebagai pasukan sokongan negeri sudah diluluskan secara bersyarat.

Kevin berkata, TFC II perlu mengemukakan dokumen kepada pihaknya berhubung soal penstrukturan pasukan.

“Pada dasarnya, kita beri kelulusan bersyarat dan kami perlu dapatkan beberapa dokumen yang mereka perlu kemukakan.

“Dokumen itu berkaitan struktur kelab yang menunjukkan kedua-dua pasukan di bawah pengurusan sama. Saya yakin hal ini bukan berat untuk dilaksanakan,” katanya.

sumber:- HM

Loading...