Lagi gemuruh, lagi bagus: Amirul Hisyam

Loading...

ALOR SETAR: Ketika pemain lain ingin mengelak daripada merasai perasaan gemuruh untuk mengharungi perlawanan besar seperti final Piala Malaysia, pemain tengah Kedah, Amirul Hisyam Awang Kechik pula berfikiran sebaliknya.

Pemain tengah skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) itu mengakui, dia lebih suka untuk berperasaan gementar pada aksi final kerana baginya, perasaan itu meletakkan dirinya dalam keadaan yang berjaga-jaga.

Situasi itu juga akan membantunya mengekalkan fokus jika diberi peluang untuk beraksi pada perlawanan penentuan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

“Saya lebih suka untuk rasa gementar kerana situasi itu membantu untuk mengekalkan fokus sekaligus dapat memberikan persembahan yang terbaik.

“Jika terlalu selesa dan tidak takut, itu akan membuatkan kita mengambil mudah setiap cabaran dan dikhuatiri akan memakan diri,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Darul Aman, hari ini.

Mengulas aksi bertemu skuad Harimau Selatan itu, pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ini gembira apabila tampil dengan corak permainan lebih matang untuk perlawanan final kali ini, berbanding final sulungnya musim lalu.

“Final tahun lalu adalah musim pertama saya kembali ke Kedah, jadi memang nampak sedikit bergelut kerana itu adalah perlawanan final yang pertama buat saya.

“Selepas mengharungi banyak perlawanan musim ini dan beraksi di pentas antarabangsa, saya dapat rasakan saya kian matang. Tahap keyakinan juga menjadi semakin meningkat dalam mengharungi aksi berskala besar sebegini.

“Persiapan pasukan juga berjalan dengan lancar dan saya lihat rakan sepasukan menggandakan usaha pada sesi latihan.

“Harapan kita adalah untuk mempertahankan Piala Malaysia di negeri ini dan semoga ia dapat direalisasikan,” katanya.

kredit:- BH

Loading...