Lagu ciptaan Nana, ungguli carta radio

Loading...

KUALA LUMPUR: Lagu pertama ciptaan sepenuhnya Siti Nordiana Alias, Terus Mencintai, mencatat sejarah membanggakan apabila mengungguli beberapa carta radio tempatan selama beberapa minggu berturut-turut.

Ketika dilancarkan awal tahun ini, Terus Mencintai menduduki tiga tempat teratas lagu paling banyak dimuat turun menerusi platform iTunes.

“Alhamdulillah, sungguh tidak dijangka, minggu ini adalah minggu keenam berturut-turut Terus Mencintai menjadi juara Carta Era 40 Era FM.

“Lagu ini turut menjadi juara buat minggu kedua carta Hits Gegar dan minggu ketujuh carta Top 40 di Hot FM,” katanya menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada BH Online.

Kejayaan lagu terbabit mendominasi carta radio tempatan dikira berdasarkan pilihan pendengar sepanjang minggu.

Selain itu, Terus Mencintai menghuni kedudukan sepuluh lagu teratas carta RIM yang dikira menerusi semua aplikasi streaming (dalam talian).

Bukan itu saja, ia juga menjuarai carta Muzik-Muzik 32 dan bakal bertanding pada peringkat separuh akhir kedua rancangan popular berkenaan, Ahad ini.

Sementara itu, video muzik yang dilancarkan pada Mac lalu kini sudah mencecah hampir tujuh juta tontonan di YouTube.

“Pencapaian ini sebenarnya memang di luar sasaran sebenar saya sewaktu mula-mula menghasilkan lagu berkenaan. Sambutan luar biasa ini menunjukkan peminat menerima dan menyokong kehadiran kali kedua saya dalam industri seni.

“Lagu Terus Mencintai juga saya hasilkan mengikut permintaan peminat, yang mahu mendengar saya menyanyikan karya dalam genre sedemikian,” ujarnya.

Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana berkata, beliau kini masih lagi belajar untuk mencipta lagu terbaik mengikut selera peminat.

Tambah penyanyi yang juga pelakon drama Dia Semanis Honey itu, sambutan luar biasa terhadap lagu berkenaan membakar semangatnya untuk terus mencipta karya yang boleh diterima ramai.

“Insya-Allah, saya jadi lebih bersemangat untuk menghasilkan lagu seterusnya, yang akan dikeluarkan akhir tahun ini. Pada masa sama, saya juga agak gementar mengenangkan harapan peminat terhadap lagu baharu nanti,” katanya.

kredit:- BH

Loading...