Lupa ibu sudah tiada…

Loading...

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Noh Zakaria, 17, yang kehilangan ibunya semalam, dapat menjawab peperiksaan dengan baik walaupun sukar untuk fokus pada mulanya kerana masih terbayangkan insan kesayangannya itu.

Hari ini, dia selesai menjawab kertas Bahasa Inggeris Satu dan Dua, serta Bahasa Arab kertas Satu di Sekolah Agama Menengah Nurul Iman (SAMNI), Kampung Bukit Cerakah, Meru, Klang.

Malam tadi, Harian Metro melaporkan calon SPM itu menerima khabar duka mengenai kematian ibunya, Maziah Alias, 50, akibat serangan jantung selepas selesai menduduki hari pertama peperiksaan itu.

Berita kejadian 12 tengah hari menimpa ibunyaitu diketahuinya sejurus selesai menduduki peperiksaan Bahasa Melayu kertas Dua pada 4.30 petang.

Guru Besar Sekolah Agama Kota Damansara 5 itu, ditemui tidak sedarkan diri ketika berehat di bilik rawatan di sekolah itu selepas keletihan dan tidak bermaya.

Menurut Muhammad Noh, dia sememangnya tersentak apabila kali pertama memulakan kehidupan tanpa ibu kesayangannya.

“Pagi tadi, saya mahu bersalaman dengan ibu namun terlupa yang dia sudah pergi buat selama-selamanya.

“Rutin harian ibu menyediakan sarapan setiap pagi untuk saya sebelum ke sekolah. Namun, kehilangannya amat dirasai walaupun baru sehari dia tiada,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sekolahnya, hari ini.

Jenazah Allahyarham yang dikenali sebagai Ustazah Maziah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, malam tadi.

Allahyarham turut meninggalkan suami, Zakaria Kasiran, 56, bersama lima anak lain iaitu Haziq Fikri, 28; Fadlin Sakinah, 25; Saidatul Kalimah, 23; Rabiatul Adawiyah, 15, dan Mizan Qistina, 8.

Kata Muhammad Noh, selepas selesai pengebumian arwah, dia hampir berputus asa kerana sukar menerima hakikat apatah lagi mengetahui ibunya tidak mempunyai penyakit sebelum ini.

“Namun, keluarga, rakan dan guru memberi semangat kepada saya selain memegang amanat arwah yang sentiasa berpesan supaya menjadi insan berjaya

“Saya terlalu sedih apabila teringatkan ibu tetapi saya beristihgfar dan berdoa kepada Allah supaya menenangkan hati. Alhamdulillah saya dapat menjawab peperiksaan dengan baik,” katanya.

kredit:- HM

Loading...