Nidzam sedia ‘undur diri’

Loading...

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff sedia ‘digantikan’ sekiranya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahukan jurulatih baharu untuk membimbing skuad itu musim depan.

Nidzam menjelaskan, mengikut perancangan sebelum ini beliau hanya diberi mandat untuk memikul tugas selaku ketua jurulatih Kedah hingga tamat musim ini walaupun kontraknya sebagai penolong jurulatih masih berbaki setahun.

“Bagi musim depan saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk tentukan perancangan pasukan. Kontrak saya (sebagai penolong jurulatih) masih berbaki setahun dan kalau diikutkan, memang bulan depan saya perlu kembali sebagai penolong jurulatih.

“Saya masih dalam proses belajar dan perlukan masa untuk pikul tanggungjawab besar. Sejak menjuarai Piala FA lagi saya sudah menyatakan Kedah perlu mempunyai jurulatih yang mempunyai standard lebih tinggi berbanding Tan Cheng Hoe (bekas jurulatih Kedah).

Seorang penyokong Kedah menenangkan Liridon Krasniqi selepas Kedah tewas pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

“Secara jujur, saya pikul tanggungjawab ini dengan rela paksa di samping sokongan dan kerjasama daripada pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan.

“Jadi, memang saya rela untuk (pengurusan) membawa ketua jurulatih yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Nidzam menggalas tugas sebagai jurulatih Kedah sejak Mei lalu selepas Cheng Hoe membuat keputusan untuk menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan.

Selain itu, Nidzam menafikan tindakannya tidak menyenaraikan Syafiq Ahmad pada aksi final malam tadi kerana spekulasi pemain skuad bawah 22 tahun negara itu akan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), musim depan.

PEMAIN Kedah kecewa selepas tewas 0-2 kepada JDT pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. – Foto Shahril

“Bukan (kerana spekulasi ke JDT), Syafiq memberi komitmen yang baik sama ada di dalam atau luar padang walaupun saya rasa, dia pasti ke pasukan lain musim depan.

“Kami memang simpan dua penyerang di bangku simpanan dan kami mempunyai tiga pemain termasuk Farhan Roslan, Fakri Saarani dan Syafiq.

“Kami terpaksa pilih dua daripada mereka, kami lihat Farhan sebagai pemain yang memiliki kepantasan dan Fakri pula sebagai penyerang lebih berpengalaman berbanding Syafiq yang boleh digunakan sekiranya Ken Ilso cedera,” katanya.

sumber:- BH

Loading...