Nikah bulan depan, tak kesampaian

Loading...

SUNGAI BULOH: Mangsa kejadian letupan dan kebakaran tangki minyak di sebuah kilang simen di Rawang, petang semalam bakal melangsungkan perkahwinannya hujung bulan depan.

Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28, sudah bertunang hampir setahun dan majlis akad nikahnya bakal diadakan pada 25 Disember depan.

Abang kepada Allahyarham Ziehafizan, Azmi Abd Rahman, 53, berkata kali terakhir dia bertemu adik bongsunya, pada Oktober lalu.

“Persiapan arwah dah hampir siap, boleh dikatakan dia hanya menanti tarikh majlis akad nikahnya sahaja.

“Hantaran perkahwinannya semua sudah disediakan, arwah betul-betul teruja, perkara terakhir yang dibincangkan bersama keluarga adalah tempahan juruvideo untuk akad nikahnya.

“Tunangnya pula difahamkan amat terkejut dan sedih dengan tragedi ini sehingga dia pengsan berkali-kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Azmi berkata, jenazah adiknya akan dibawa pulang ke Seberang Takir, Terengganu malam ini juga sebaik sahaja selesai proses bedah siasat dan pengurusan jenazah.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggul Pauh.

“Walaupun saya berasa amat sedih, saya reda dengan kejadian yang menimpa adik saya.

“Ketika melihat mayatnya tadi untuk proses pengecaman, saya bersyukur mayat dalam keadaan sempurna.

“Arwah anak yatim piatu, sebab itu dia memang amat rapat dengan kami abang dan kakaknya yang seramai lapan orang ini,” katanya.

kredit:- BH

Loading...