Nor Azam sedia ganti Safiq Rahim

Loading...

KUALA LUMPUR: Pemain muda Pahang, Nor Azam Abdul Azih bersedia mengisi kekosongan yang ditinggalkan kapten, Safiq Rahim pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand Jumaat ini.

Dia yang beraksi cemerlang bersama skuad bawah 22 tahun pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu berjanji akan memberikan persembahan terbaik sekiranya diberi peluang oleh jurulatih, Nelo Vingada.

“Jika diberi peluang beraksi oleh jurulatih, saya akan bagi 100 peratus untuk membantu pasukan dan sedia menggalas tugas yang diberikan.

“Kalau nak ikutkan persaingan memang sengit kerana saya pemain muda dan baru sahaja dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Tetapi, sebagai pemain saya anggap ia satu persaingan yang sihat dan tidak kira siapa yang akan menjadi pilihan jurulatih, kami akan bermain untuk negara,” kata Azam.

Safiq terlepas aksi Jumaat ini kerana penggantungan selepas menerima kad merah pada perlawanan berdepan Hong Kong, 10 Oktober lalu.

NOR Azam Abdul Azih (tengah) beraksi cemerlang bersama skuad bawah 22 tahun pada Sukan SEA KL2017, Ogos lalu. – Foto Asyraf Hamzah

Ini kali kedua Azam dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas aksi berdepan Lubnan pada Jun lalu, namun tidak diturunkan oleh Vingada.

Selain itu, Azam tetap optimis Harimau Malaya mampu mendapatkan keputusan positif berdepan Korea Utara walaupun beraksi di stadium berkecuali.

“Saya masih baru dalam skuad kebangsaan dan pengalaman pun masih kurang, tapi saya percaya kalau kami bermain dengan semangat yang tinggi, tidak mustahil kami mampu meraih kemenangan,” katanya.

kredit:- BH

Loading...