Pelajar tingkatan 4 meninggal dunia

Loading...

MELAKA: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat dari Taman Tangkak Jaya, Tangkak, Johor meninggal dunia di Hospital Melaka, malam kelmarin, selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah hentian bas di Ayer Keroh, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa M Arunasalam, 16, ditemui oleh dua orang awam sebelum bertindak membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Melaka, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata mangsa yang dirawat di zon merah diberi bantuan pernafasan selama kira-kira 30 minit sebelum akhirnya meninggal dunia.

“Pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa menjumpai kesan lebam dan birat di kedua belah tangan dan belakang badan mangsa.

“Tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa, malah mangsa juga lengkap berpakaian,” katanya ketika dihubungi, petang ini.

Tinjauan BH di Hospital Melaka, sebentar tadi mendapati mangsa masih berada di Jabatan Forensik sementara menunggu proses bedah siasat selesai.

Dalam pada itu, ada beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa turut berada di lobi Jabatan Forensik, tetapi enggan untuk ditemubual.

Kamaluddin berkata, siasatan lanjut dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan termasuk cuba mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Polis sudah mengambil beberapa keterangan saksi termasuk ibu mangsa, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sejak semalam, tiga video berdurasi kira-kira satu minit setiap satu, viral di Facebook yang memaparkan seorang remaja lelaki dipukul dipercayai oleh ahli keluarganya kerana didakwa mencuri duit datuknya.

Dalam video berkenaan, remaja berkenaan yang tidak berbaju dilihat dipukul menggunakan getah paip selain beberapa kali merayu serta menangis.

Mengulas video berkenaan, Kamaluddin berkata pihaknya sedang menyiasat kesahihan penularan video berkenaan di laman sosial.

kredit:- BH

Loading...