Pemuda ditahan, diikat kerana curi TV masjid

Loading...

KOTA BHARU: Seorang pemuda ditahan penduduk kampung sebelum diikat di masjid kerana disyaki mencuri sebuah televisyen Masjid Al-Qudus Mukim Paya Bemban, di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 22 tahun diikat menggunakan rantai besi selama 30 minit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, suspek ditahan di rumahnya oleh beberapa penduduk kampung kerana disyaki mencuri televisyen milik masjid terbabit 25 Oktober lalu.

Imam masjid berkenaan, Ahmad Tarmizi Abdul Rauf, 48, berkata, beliau dimaklumkan penangkapan pemuda itu sebelum bergegas ke masjid.

“Saya agak terkejut penduduk mengikat suspek di tiang menggunakan rantai besi dan meminta lelaki itu tidak dicederakan.

“Saya terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut dan suspek dibawa ke Balai Polis Kota Bharu jam 1 tengah hari.

“Lelaki itu dipercayai memecah masuk masjid sebelum mencuri televisyen 48 inci di bahagian solat wanita pada 26 Oktober lalu dan kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, penduduk kampung sudah beberapa kali ke rumah suspek, namun lelaki itu menghilangkan diri sebelum ditahan tengah hari tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

kredit:- BH

Loading...