Persatuan Penyokong Lang Merah mahu Tunku Puteri Intan Safinaz teraju Kedah

Loading...

Kuala Lumpur: Angin perubahan dalam penyokong skuad Helang Merah makin kencang apabila Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) turut mendesak agar Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melepaskan jawatan susulan kegagalan menguruskan persatuan itu dengan baik.

Sebaliknya, LMFA mahu badan induk bola sepak negeri itu diterajui Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim yang dipercayai mampu membawa perubahan besar kepada KFA.

TUNKU Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim (duduk, tengah) bersama pasukan Kedah ketika jamuan makan tengahari sebelum aksi final Piala Malaysia bertemu JDT, Sabtu lalu. – Foto Firdaus Hashim

Menurut Pengerusi LMFA, Wan Syazwan Wan Fadzelah, pemilihan Tunku Puteri Intan Safinaz dilihat tepat berdasarkan kemampuan dan ketokohan beliau untuk melakukan transformasi ke atas pengurusan dan pentadbiran persatuan bola sepak itu.

“Kami mendesak supaya Ahmad Bashah meletak jawatan sebagai Presiden KFA kerana beliau sama sekali gagal menguruskan persatuan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Desakan ini bukan disebabkan kerana kalah kepada Johor DT (Johor Darul Ta’zim) dalam final Piala Malaysia, tetapi disebabkan kelemahan sistem pengurusan KFA yang amat lemah sejak tiga musim lalu.

“Kemuncak kegagalan beliau sudah pastinya mengenai isu pembahagian tiket final yang kerap berulang apabila Kedah melangkah pentas final. Terlalu banyak politik dalam persatuan yang akhirnya menyusahkan penyokong.

“Kami tak mahu orang politik lagi memimpin persatuan. Sebaliknya kami mahu Tunku Puteri Intan Safinaz diberi peluang memimpin seperti di JDT, Kelantan dan PKNS FC yang diketuai wanita sebagai presiden,” katanya.

Semalam, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah bersedia mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden KFA berikutan tindakan segelintir penyokong Kedah yang memalukan beliau ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Dalam aksi kemuncak itu, penyokong Hijau Kuning melaungkan ‘boo’ kepada Ahmad Bashah sebagai tanda rasa tidak puas hati dan protes atas isu tiket.”Ini bukan yang pertama penyokong ‘boo’ beliau, tetapi sudah beberapa kali termasuk pada aksi final Piala FA pada Mei lalu dan juga perlawanan yang diadakan di Stadium Alor Star.

“Kami akan menyerahkan memorandum kepadanya (Ahmad Bashah) untuk menuntut agar beliau melepaskan jawatan serta cuba mengaturkan pertemuan dengan Tunku Puteri Intan Safinaz memohon mengambil alih KFA,” katanya.

kredit:- BH

Loading...