Peserta perarakan Maulidur Rasul meninggal dunia

Loading...

SHAH ALAM: Seorang peserta Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Selangor meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Stadium Malawati, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Drs Wan Aminuddin Wan Ab Hamid, 63, adalah antara 40 peserta kontijen Persatuan Pesara Perkhidmatan Awam (PPKM) yang mengambil bahagian dalam perarakan sambutan itu.

Ketua Kontinjen PPKM, Mohd Yunos Abd Rahman, berkata ketika kejadian, beliau berada di sebelah Wan Aminuddin, sebelum melihat perubahan di wajahnya, termasuk kesukaran bernafas.

“Waktu kejadian sekitar jam 9.30 pagi. Apabila saya lihat keadaan Wan Aminuddin, saya segera mendapatkan pegawai petugas berhampiran untuk dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA).

“Beliau disahkan meninggal dunia di HSA sekitar jam jam 10 pagi oleh pegawai perubatan yang bertugas. Kehilangannya amat dirasai kerana ia adalah penggerak utama PPKM,” katanya.

Sementara itu, isteri arwah, Zuraida Ab Rahman, 63, berkata kali terakhir bertemu suaminya itu kira-kira jam 4.30 pagi tadi, sebelum bergerak ke stadium.

“Kami sekeluarga terkejut dengan pemergiannya, namun kami redha kerana beliau pergi pada hari mulia yang penuh keberkatan selepas menyertai perarakan Maulidur Rasul.

“Memang tiada sebarang tanda atau perubahan, keadaannya seperti biasa sahaja sehingga kali terakhir saya jumpanya. Sepanjang pengetahuan saya, beliau hanya ada penyakit darah tinggi sahaja,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSA.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kassim, berkata pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan semoga roh arwah di tempatkan dalam kalangan hamba yang disayangi Allah.

“Veteran serta pesara kerajaan sangat komited dan sentiasa bersemangat dalam perarakan Maulidur Rasul pada setiap tahun,” katanya.

kredit:- BH

Loading...