Piala Malaysia:Johor Cuti Umum Jika Juara

Loading...

PETALING JAYA: Kerajaan Johor mungkin akan mengumumkan cuti khas peristiwa pada Ahad ini sekiranya pasukan kebanggaan negeri itu berjaya menjulang kemenangan pada final Piala Malaysia 2017.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani berkata, cuti peristiwa khas itu diberikan sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selain menghargai kerja keras pasukan Harimau Selatan itu untuk bergelar juara.

“Jika Johor Darul Takzim (JDT) berjaya meraih kemenangan, pengisytiharan itu adalah sebagai rakaman ucapan terima kasih kepada pemain serta penyokong yang telah berjaya membawa pulang kejuaraan tersebut buat pertama kalinya sejak 25 tahun.

“Ia juga sebagai menghargai sokongan padu rakyat Johor kepada pasukan JDT, sehingga membolehkan pasukan itu mencipta kejayaan demi kejayaan selama ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Pasukan JDT bakal bertemu Kedah pada perlawanan akhir pada Sabtu ini.

Katanya, titah Sultan Johor itu dihebahkan awal sekaligus menzahirkan keprihatinan baginda terhadap rakyat negeri itu untuk memudahkan mereka membuat persediaan awal mengurus pekerjaan dan rutin harian lain.

Beliau turut meminta semua peminat setia pasukan bola sepak Johor untuk  memenuhi Stadium Shah Alam pada Sabtu ini bagi memberikan sokongan penuh kepada JDT.

“Marilah kita tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat kesukanan yang tinggi demi memastikan lakaran sejarah kejayaan pasukan kita dapat direalisasikan pada pertemuan akhir itu,” ujar Azmi.

Azmi juga menasihatkan penyokong supaya saling menghormati sesama peminat bola sepak yang lain.

kredit:- mstar

Loading...