Polis diminta siasat maklumat dakwa jurulatih, pemain Kedah rasuah

Loading...

YAN: Seorang penyokong skuad bola sepak Kedah, Zulkifli Hashim, 38, membuat laporan polis susulan kenyataan berbaur fitnah di media sosial yang mengaitkan pemain dan jurulatih Helang Merah dengan amalan rasuah.

Laporan polis itu dibuat Zulkifli atau lebih dikenali Puaka Jerai, di Balai Polis Yan, di sini, jam 8.54 pagi tadi.

Zulkifli yang ditemui mengakui terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan oleh rakannya pada jam 11 malam tadi mengenai mesej berbaur tuduhan fitnah yang disebarkan tanpa sebarang bukti oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai penyokong yang bertanggungjawab dan cintakan pasukan Kedah, saya tampil membuat laporan polis bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap lontaran berita yang membawa imej negatif untuk pasukan.

“Saya amat kecewa dengan tohmahan dan tuduhan tidak berasas ini dan mahu pihak bertanggungjawab menyiasat perkara ini supaya kebenaran dapat diketahui oleh seluruh penyokong Kedah,” katanya.

Berdasarkan maklumat dimuatnaik ke laman Facebook, seorang individu menyebarkan komen “Calon-calon jual game Final Piala Malaysia 2017” dan tertera tujuh nama membabitkan pemain dan jurulatih Kedah.

Terdahulu terdapat viral di media sosial WhatsApp mendakwa tujuh pemain Kedah menerima sogokan RM200,000 setiap seorang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah bertemu JDT.

Zulkifli berkata, tuduhan rasuah membabitkan jurulatih dan pemain Kedah itu mencalar maruah skuad, khususnya semua yang didakwa terbabit itu, jika ada yang mempercayai berita negatif seperti itu di media sosial.

“Saya mewakili penyokong Kedah berharap perkara ini dapat disiasat dengan segera dan telus untuk membersihkan imej Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dari persepsi negatif oleh penyokong.

“Paling penting, kita mahu pihak yang terbabit dengan tuduhan berkenaan disoal siasat mengenai kesahihan maklumat disebarkan itu serta dari sumber mana maklumat itu diperoleh,” katanya.

kredit:- BH

Loading...