Ramon Marcote Bakal Jurulatih Kedah

Loading...

PETALING JAYA: Nampaknya ramai yang cuba mengembalikan kegemilangan pasukan Kedah berikutan kegagalannya dalam merangkul trofi Piala Malaysia 2017, awal bulan ini.

Ini termasuk usaha penaja Kedah, ECK Group Sdn Bhd menerusi ECK Development Sdn Bhd membawa masuk ketua jurulatih baharu buat skuad Helang Merah bagi menggantikan Mohd Nidzam Adzha Yusof.

Pengarahnya, Puan Sri Ginney Chew di halaman Facebook pada Isnin, beliau memerlukan 25,000 tanda suka (like) untuk membawa masuk bekas pengendali Kedah musim 2015, Ramon Marcote sebagai ketua jurulatih.

“Saya perlukan 25,000 ‘like’. Saya akan cuba lakukan yang terbaik. Buktikan kepada KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) apakah yang anda semua mahukan.

“Ramon Marcote Pequeno ‘Marco’. Ada cabaran barulah ada kejayaan,” katanya di laman sosial yang memperoleh kira-kira 16,000 ‘like’ setakat pagi Selasa.

Dilaporkan, Marcote yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (Phd) dalam bidang sains sukan di Madrid berkata, beliau sedia sekiranya dipanggil untuk mengisi jawatan berkenaan.

Terdahulu, Ginney berkata, walaupun Kedah tidak bergelar juara Piala Malaysia 2017, tetapi ahli perniagaan itu tetap memberi kata-kata semangat untuk pasukan itu terus bangkit.

“Tuhan bagi cabaran, semua orang ada naik ada turun. Kedah tak dapat juara, jangan sedih. Tahun depan adalah giliran anda.

“Saya yakin pasukan bola sepak kita boleh melakukannya, sekurang-kurangnya dah tahu kelemahan kita. Kita akan menjadi lebih baik dan lebih kuat,” ujar Ginney di laman sosialnya pada 5 November lalu, sehari selepas Kedah ditundukkan oleh JDT dengan 2-0 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam.

Ginney Chew. Foto Facebook Ginnew Chew

Timbul spekulasi Marcote dan bekas jurulatih pasukan Johor Darul Tak’zim (JDT) Mario Gomez sedang dalam pertimbangan KFA.

Bagaimanapun dilaporkan ketua jurulatih baharu Kedah bakal diketahui selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini selepas urusan menandatangani kontrak dimeterai bersama KFA.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa senarai calon dan perbincangan awal tidak akan didedahkan.

kredit:- mstar

Loading...