Rody bertunang, Kaka tumpang gembira

Loading...

KUALA LUMPUR: Memadai dengan menyatakan dirinya tumpang gembira mendengar berita pertunangan pemain gitar kumpulan Kristal, Rody, selebihnya Kaka Azraff selesa mengunci mulut kerana bimbang kenyataannya disalah erti.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 28, mengakui serba salah apabila ditanya mengenai perkara itu dan terpaksa menolak daripada mengulas lanjut kerana tidak mahu menimbulkan perasaan kurang selesa pihak lain.

“Saya tumpang gembira mendengar berita itu. Perjalanan hidup setiap insan sudah tertulis dan pastinya, saya gembira kerana Rodi bakal bertemu jodoh. Hanya itu yang dapat saya katakan. Cukuplah kerana saya tidak mahu kenyataan saya mencetuskan rasa kurang senang pihak lain,” katanya.

Rody pada Sabtu lalu mengikat pertunangan dengan penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman atau Niena pada majlis yang berlangsung di kediaman keluarga gadis itu di Kulai, Johor.

Berita itu dikongsi bersama Rody dan Niena menerusi akaun Instagram (IG) masing-masing dengan memuat naik beberapa foto selepas majlis pertunangan mereka berlangsung.

Penyanyi kelahiran Klang, Selangor itu sebelum ini pernah dikaitkan rapat dengan Rody ketika terbabit dalam program realiti, Duo Star, tahun lalu. Namun Kaka menegaskan, hubungan mereka hanya terbatas sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Mr N, Kaka berkata, dia belum bersedia mendedahkan gerangan jejaka itu. Baginya, terlalu awal untuk dia berkongsi mengenainya kerana mereka masih dalam peringkat mengenali hati budi.

“Insya-Allah, sekiranya hubungan ini membawa kami ke peringkat lebih serius, saya tidak akan berahsia,” katanya.

Beralih perkembangan kerjaya seninya, Kaka kini giat mempromosikan single terbaru, Kembali. Video muzik lagu ciptaan The Good Fellas itu sudah dimuat naik di laman You Tube sejak dua minggu lalu.

Kembali memperlihatkan sisi matang Kaka sebagai penyanyi apabila memberi lebih penekanan kepada aspek vokal.

Kaka sebelum ini dikenali menerusi lagu seperti Bawaku Pergi, Infiniti Cinta, Bukan Hal Aku dan Terima Kasih.

“Hampir tujuh tahun dalam industri, saya semakin matang mencorakkan perjalanan kerjaya nyanyian. Semua pengalaman itu saya curahkan dalam lagu ini.

“Saya berharap kematangan Kembali akan memanjangkan lagi hayat saya dalam industri,” katanya.

sumber:- BH

Loading...