Rody ‘Ikat’ Niena

Loading...

PETALING JAYA: Hampir tujuh bulan menyulam cinta, penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman selamat melangsungkan pertunangan dengan gitaris kumpulan Kristal iaitu Rody, kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu.

Majlis berlangsung di kediaman keluarganya di Kulai, Johor.

Majlis yang dihadiri keluarga terdekat dan sahabat rapat sahaja menyaksikan Nur Izwani atau lebih mesra disapa Niena menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak Rody, sebagai simbolik ikatan pertunangan.

Niena berkata, dia dan Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin akan bertunang selama enam bulan.

Mereka merancang untuk bernikah pada tahun depan tetapi tarikh hari bahagia itu masih belum dimuktamadkan lagi.

“Kami tidak mahu bertunang lama tetapi buat masa ini tarikh pernikahan belum ditetapkan lagi,” katanya kepada mStar Online.

Niena ketika menjalani persediaan untuk Sukan Sea yang berlangsung baru-baru ini.

Niena berkata, kehadiran Rody bagai melengkapkan lagi kehidupannya.

“Alhamdulillah akhirnya hubungan kami disatukan dalam majlis pertunangan serba sederhana. Saya bersyukur kerana segala urusan berjalan lancar dan  dipermudahkan,” katanya.

Pada majlis itu, Niena kelihatan anggun dengan mengenakan persalinan biru gelap.

Sebelum itu, Rody, 31, melamar kekasihnya itu menerusi laman sosial Instagram miliknya pada 21 September lalu.

Lamaran itu diterima gadis berusia 30 tahun itu yang juga jurulatih futsal di Academia de Futsal dan Putra Ria FC.

Mereka mula berkenalan pada April lalu melalui seorang rakan dan hubungan itu semakin rapat kerana kedua-duanya rasa serasi bersama.

sumber:- mstar

Loading...