Rody Kristal tak pandai bercinta

Loading...

KUALA LUMPUR: Bertunang dengan penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Sabtu lalu, gitaris kumpulan Kristal, Rody akhirnya berterus-terang mengapa dia lambat bertemu jodoh.

Akui Rody, pada usia 31 tahun, barulah dia membuat perancangan menamatkan zaman bujang kerana selama ini, dia tidak pandai bercinta.

“Dulu, saya tidak pandai bercinta. Kalau bercinta, pasti tak kesampaian kerana pasangan tak rasa cinta kita kepada dia.

“Dalam soal memujuk, saya akan meminta bantuan rakan-rakan. Ini kerana saya gagal dalam ‘bab’ memujuk apatah lagi hendak beri bunga.

“Ketika itu, bagi saya, biarlah hati pasangan kita yang sakiti itu baik dengan sendirinya. Jadi, tanpa disedari, orang itu akhirnya putus harapan… Pintu hatinya sudah ditutup,” katanya yang meluahkan perasaan dalam Instagram.

Akui Rody atau nama sebenarnya, Mohd Rodi Baharudin, keadaan berubah sejak dia mengenali Nur Izwani Azman, April lalu.

Menurutnya, Izwani atau lebih mesra disapa Niena, mengajarnya cara-cara melayan dan menjaga perasaan wanita.

“Dia orang yang banyak bersabar.. Sabarlah dengan diriku ini. Terasa juga hendak kekasih buat kejutan hari jadi. Sayangnya, saya kenal dia selepas hari lahir saya.

“Tetapi tak sangka pula Niena membuat kejutan ‘belated birthday’… Kira menjadilah (impian itu). Sehingga sekarang, sedikit demi sedikit saya mula bercinta dan terus buat keputusan bertunang supaya tidak terlepas!” katanya.

Rody turut berkongsi kisah Niena merajuk kerana dia pernah melengahkan solat.

“Dia pernah merajuk kerana itu… Sebenarnya, soal solat inilah perkara pertama yang menyebabkan dia tertarik dengan saya. Malah, Niena sering berpesan, solat jangan tinggal.

“Tetapi kadang-kadang kita alpa apabila terlalu seronok bercinta. Saya dah berjanji untuk bimbing dia, sama-sama perbaiki diri. Mana tahu, capai cinta sehingga ke syurga,” katanya.

Majlis pertunangan Rody dan Niena dihadiri keluarga dan teman rapat mereka yang berkumpul di kediaman keluarga Niena di Kulai, Johor.

Rody merancang untuk mengikat tali pertunangan selama enam bulan dan mengadakan majlis perkahwinan, April tahun depan.

kredit:- BH

Loading...